Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPDNHEP Kelantan sita pelbagai barangan kawalan bernilai RM1.1 juta


Tarikh kemaskini: 07/09/2019





PASIR MAS, 7 Sept -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyita kira-kira RM1.1 juta barangan kawalan yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran sejak Januari hingga Ogos lepas.

Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abd Rahman berkata ia membabitkan minyak masak, petrol dan diesel selain gandum dan barangan kawalan lain.

"Dalam tempoh sama tahun lepas, jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM690,000 dan ia meningkat secara drastik (tahun ini).

"Kita akan menggiatkan lagi operasi penguatkuasaan secara berterusan dengan kerjasama agensi lain termasuk Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta beberapa agensi yang berkaitan memandangkan kuasa kami terhad, namun dengan bantuan ini kami berjaya mengekang penyeludupan di sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pembukaan dan Penyampaian Hadiah Program Promosi 'Pam dan Menang' di Stesen Minyak Caltex Bumi Emas Indah Sdn Bhd di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Keusahawanan Kelantan Datuk Hanifa Ahmad, Pengurus Runcit - Kawasan Utara dan Pantai Timur Chevron Malaysia Limited Faizah Abdul Samad dan Pengurus Besar Kumpulan Bumi Emas, Che Din Mohamad.

Adnan berkata sebanyak 40,483 premis telah diperiksa sejak Januari hingga Ogos lepas dengan 686 premis telah diambil tindakan selain 443 kompaun berjumlah hampir RM80,000 telah dikeluarkan.

"Kami juga telah menerima 319 aduan daripada orang ramai manakala 23 kes telah dibawa ke mahkamah dengan denda dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan turut menasihatkan pengusaha dan pengguna supaya mematuhi keselamatan semasa berada di sekitar stesen minyak iaitu dengan mengambil tindakan tidak merokok, mematikan enjin ketika mengisi minyak di pam dan tidak mengunakan telefon bimbit selain pengusaha pula perlu memasang alat keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV).

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel