Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPJ Seremban cadang tambah doktor pakar bedah jantung


Tarikh kemaskini: 07/09/2019





SEREMBAN, 7 Sept -- Hospital Pakar KPJ Seremban bercadang menambah doktor pakar bedah jantung bagi menjadikan hospital ini sebagai 'Centre of Excellence' terutama dalam bidang kardiovaskular.

Pengurus Klinikal dan Operasi KPJ Seremban, Dr Ahmad Syukri Jamaludin berkata buat masa ini KPJ Seremban mempunyai tiga pakar jantung dan dengan penambahan ini bakal menjadikan KPJ Seremban satu-satunya hospital swasta di Negeri Sembilan yang mempunyai kepakaran itu untuk menampung keperluan masyarakat.

“Rawatan pakar yang disediakan pada masa ini antaranya jantung, mata, perubatan am, bedah tulang, perbidanan dan kulit," katanya kepada Bernama selepas program Merdeka Fun Day 2019 KPJ di sini, hari ini.

Beliau berkata, KPJ Seremban juga akan menambah 48 katil, 35 klinik pesakit luar dan 34 perkhidmatan dialisis yang dijangka dibuka pada suku keempat tahun ini.

KPJ Seremban adalah hospital pertama dari 26 buah hospital KPJ di Malaysia bekerjasama dengan KPJ Healthcare University College (KPJUC) dalam 'Academic Health Centre' bermula pertengahan tahun ini.

"Ia mengintegrasikan aktiviti penjagaan pesakit dan aktiviti akademik yang merangkumi pengajaran dan penyelidikan. Setiap minggu pensyarah dari KPJUC dihantar ke sini untuk didedahkan dengan situasi sebenar pekerjaan di hospital terutama dalam bidang farmasi, fisioterapi dan kejururawatan," katanya.

Kira-kira 100 kakitangan dari KPJ Lembah Klang dan hospital swasta berdekatan serta orang awam terlibat dalam program hari ini seperti zumba, pertandingan mereka bendera, cabutan bertuah dan pop kuiz kemerdekaan bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan warganya dan orang awam.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel