Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Istana Kelantan bantah penyebaran gambar peribadi Sultan Muhammad V


Tarikh kemaskini: 06/09/2019




KOTA BHARU, 6 Sept  -- Istana Kelantan hari ini amat kesal dan membantah penyebaran gambar-gambar peribadi Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di media sosial beserta semua kiriman yang tidak beradab berkaitan kehidupan peribadi baginda di media sosial.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata Istana Kelantan turut menafikan sekeras-kerasnya segala kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah yang disiarkan bersama gambar-gambar berkenaan.

Beliau berkata bukan menjadi kelaziman pihak istana untuk memberi penjelasan kepada bualan di media sosial tetapi Istana Kelantan telah memutuskan untuk menjernihkan kekeruhan yang sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan rakyat.

"Sekali lagi pihak istana menyeru supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah.

“Hanya kenyataan rasmi dari Istana Kelantan dan peguam kepada Sultan Muhammad V yang boleh diambil kira sebagai kenyataan yang tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat dan pengamal media," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nik Mohd Shafriman berkata Sultan Muhammad V sebagai sultan yang memerintah negeri Kelantan tidak seharusnya dikaitkan dengan fitnah dan coretan yang tidak sahih di media sosial.

Beliau berkata fitnah-fitnah berupa coretan yang tidak benar ini telah mencemarkan nama baik kesultanan Kelantan dan kerabat diraja Kelantan.

"Sultan Muhammad V turut menzahirkan kekesalan dan rasa yang amat dukacita di atas kekhilafan peribadi baginda yang telah mengakibatkan kekeliruan di kalangan rakyat sehingga mendatangkan pertelagahan di media sosial kerana didorong oleh khabar angin yang tidak sahih.

"Sebaliknya, baginda berharap agar rakyat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ayahanda baginda yang amat dikasihi, Sultan Ismail Petra yang sedang gering.

"Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmati seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel