Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasukan sukarelawan Jakoa diperluas


Tarikh kemaskini: 06/09/2019




KUANTAN, 6 Sept -- Pasukan Sukarelawan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang diwujudkan di Pahang akan diperluaskan ke negeri lain, kata Ketua Pengarahnya Prof Dr Juli Edo. 

Beliau berkata sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih ramai belia Orang Asli yang meliputi antara 30 hingga 40 peratus daripada kira-kira 178,000 penduduk Orang Asli di Semenanjung. 

Pasukan itu, menurut Juli membolehkan masyarakat Orang Asli terutamanya golongan muda untuk berbakti dalam pelbagai aspek yang sebelum ini agak terbatas kerana tidak mempunyai platform khusus untuk berbuat demikian. 

"Oleh itu, penubuhan pasukan ini membolehkan mereka menyumbang tenaga seperti pada situasi bencana alam mahupun semasa penganjuran majlis tertentu. 

"Ini juga membolehkan sistem penyampaian Jakoa ke peringkat akar umbi dilakukan dengan lebih baik, selain membantu belia Orang Asli untuk tidak terlibat dalam masalah gejala sosial," katanya. 

Juli berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup Kursus Sukarelawan Belia dan Beliawanis Orang Asli Pahang 2019 di sini hari ini, yang dihadiri Senator Dewan Negara Datuk Isa Ab Hamid dan Pengarah Jakoa Pahang Johari Alwi. 

Beliau berkata pihak berkenaan boleh mempelajari bagaimana Jakoa Pahang dapat melaksanakan projek rintis Jakoa Pahang Volunteer Team (JPVT) yang melibatkan penyertaan 120 belia daripada seluruh negeri. 

"Usaha seperti ini dapat membina jati diri belia selain membentuk sikap bekerja dalam satu pasukan. Ia juga menyemai sikap patriotik kepada belia supaya sentiasa bersedia memberikan khidmat pada bila masa diperlukan. 

"Jika sebelum ini kita mempunyai sukarelawan luar datang ke kampung untuk melakukan kerja kebajikan, namun kali ini, kita mempunyai pasukan sendiri yang juga boleh membantu," katanya. 

Penyertaan JPVT adalah terbuka kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 40 tahun dengan syarat sihat, bebas pengaruh dadah dan alkohol, mempunyai semangat yang tinggi dan boleh membaca serta menulis. 

Menerusi program itu, mereka perlu menjalani kursus dan latihan yang dikendalikan antaranya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel