Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

J'kuasa peringkat negeri pantau NFCP bakal ditubuh


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





JOHOR BAHRU, 5 Sept -- Satu jawatankuasa di peringkat negeri bakal ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

NFCP, yang bakal dilancarkan pada 19 Sept ini, merupakan satu pelan yang bakal melihat jaringan mudah alih dan tetap negara, menjadi lebih menyeluruh selain berkualiti tinggi dan berpatutan.

Menyambut baik pelan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri akan memberikan tumpuan sewajarnya pada NFCP.

“Sebagai maklum balas pantas pihak kerajaan negeri terhadap pelan NFCP ini, satu inisiatif yang telah diambil oleh pihak kerajaan negeri adalah dengan mengadakan perbincangan bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Selatan bagi menubuhkan satu jawatankuasa di peringkat negeri yang akan berfungsi untuk memantau pelaksanaan pelan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, jawatankuasa itu juga ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan NFCP serta lain-lain inisiatif pembangunan infrastruktur untuk tujuan meningkatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di negeri Johor.

“Ia juga berperanan untuk mengenal pasti halangan dan cabaran seterusnya mencadangkan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang boleh membantutkan perancangan yang telah dibuat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar itu.

Menurut Dzulkefly, pelaksanaan pelan NFCP itu dilihat selaras dengan matlamat kerajaan negeri yang berhasrat menggalakkan penglibatan rakyat terutamanya dalam bidang perniagaan yang akan membangunkan ekonomi digital khususnya di Johor.

“Pelan itu juga akan memberikan manfaat khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar yang akan menikmati perkhidmatan jalur lebar yang berkualiti dan berkelajuan tinggi,” kata beliau sambil menambah secara langsung dapat mengelakkan migrasi golongan belia dari kawasan luar bandar ke bandar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel