Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pegawai awam perlu utama prinsip keadilan - Tokoh Maal Hijrah Melaka


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





MELAKA, 5 Sept  -- Pegawai awam khususnya pegawai undang-undang dan pemimpin negara perlu mengutamakan prinsip keadilan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat, kata Tokoh Maal Hijrah Melaka 2019 Tan Sri Abu Talib Othman.

Abu Talib, 81, yang juga bekas Peguam Negara berkata prinsip itu penting bagi mengelak sebarang masalah dan memberi kesan kepada negara, rakyat atau seseorang individu sekali gus menyebabkan mereka merasa teraniaya.

"Bukan hanya mahkamah tetapi semua rakyat, pegawai dan orang berkuasa hendaklah mengutamakan keadilan dalam tugas mereka. 

"Itulah pegangan saya semasa memegang jawatan di Jabatan Peguam Negara terutama apabila ia melibatkan pendakwaan kes sensitif dan ketika saya dikehendaki memberi nasihat kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Ummah dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1441 / 2019 Peringkat Negeri Melaka di sini, hari ini.

Beliau menerima wang tunai sebanyak RM10,000, sijil penghargaan dan hadiah iringan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Abu Talib yang merupakan anak jati Melaka berasal dari Merlimau di sini telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dan merupakan bekas Peguam Negara selama 13 tahun selain menjadi Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji dan Penasihat Undang-Undang kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas anugerah yang diterimanya itu, beliau berkata ia merupakan satu pengiktirafan yang tidak pernah disangka akan diterima dalam hidupnya menerusi khidmat bakti sebagai penjawat awam.

Sementara itu, penerima Anugerah 'Abdullah Ummi Maktum' Warga Istimewa, Mohd Azmeen Kamarulzaman, 29, berkata anugerah yang diterimanya itu akan menjadi inspirasi kepadanya untuk beraksi dengan baik pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor dalam acara renang.

Beliau yang mengalami lemah kaki kiri pernah mewakili negara dalam acara renang di Sukan Para ASEAN 2009 di Tokyo, Jepun namun hanya menduduki kedudukan lima teratas selain pernah memenangi satu emas, dua perak dan satu gangsa pada Para Sukma di Sarawak pada 2016.

"Ini adalah penghargaan terbesar setakat ini dalam hidup saya dan ia memang langsung tidak pernah saya impikan, terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menghargai bakat saya dalam sukan renang," katanya yang kini berkhidmat sebagai jurumudi di Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka.

Pada majlis itu, tujuh lagi anugerah turut disampaikan iaitu Anugerah Tunas Harapan kepada Nurul Nadiah Narissa Mustapah; Anugerah Belia Islam kepada Suhaila Zulkifly; Anugerah Usahawan Islam kepada Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie dan Anugerah Penjawat Awam untuk Datuk Seri Borhan Dolah.

Turut menerima anugerah ialah Daros Ibrahim bagi kategori Keluarga Mithali dan anugerah khas iaitu Surau Terbaik (Surau Al-Falah Pulau Sebang) dan Masjid Terbaik (Masjid Ar-Rahman Bukit Rambai).

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel