Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA sasar Bazaar Peduli Rakyat di seluruh negara menjelang akhir 2021


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





KUALA TERENGGANU, 5 Sept -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk memperluas  Bazaar Peduli Rakyat (BPR) ke seluruh negara menjelang akhir tahun 2021, kata pengerusinya Ishak Ismail hari ini.

Beliau berkata pihaknya yakin BPR yang menawarkan pelbagai barangan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran, akan dilaksanakan di  seluruh 222 kawasan Parlimen serta 576 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)  berikutan sambutan memberangsangkan daripada orang ramai di lima lokasi penganjuran program itu setakat ini.

"Sejak program pertama dilancarkan di Pulau Pinang pada 1 Feb lalu, BPR telah diadakan secara bulanan. Ia bukan sahaja berjaya meningkatkan pendapatan usahawan kepada 40 peratus hingga 50 peratus, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai barangan dengan harga lebih murah sekitar lima hingga 30 peratus berbanding harga pasaran.

"Sehingga kini, BPR telah dilaksanakan di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan serta Selangor dan terbukti memberi banyak impak positif sehingga banyak permintaan agar ia diadakan setiap bulan...kita akan terus perluaskan program ini agar rakyat seluruh negara menerima manfaatnya," katanya kepada pemberita di program pelancaran BPR di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Alimin dan Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed.

Bazaar itu adalah hasil kerjasama strategik tiga agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu FAMA, LPP dan LKIM yang bertujuan memendekkan rantaian pemasaran barangan dari peladang, petani dan nelayan agar ia terus sampai kepada pengguna.

Ishak berkata pihaknya juga menyasarkan untuk melahirkan 2,000 usahawan baharu menjelang akhir tahun 2021 di seluruh negara melalui penganjuran bazaar itu.

"Di setiap lokasi, 30 peratus hingga 40 peratus daripada usahawan yang berniaga ialah usahawan baharu. Ini adalah platform untuk mereka memasarkan produk kepada orang ramai.

"Kita bantu mereka untuk meningkatkan kualiti produk melalui jualan My Best Buy seterusnya dibantu lagi hingga boleh memasuki pasaraya dan ke pasaran antarabangsa melalui Festival Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel