Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dokumen RMK-12 libat semua pihak - Mohd Radzi


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





KOTA BHARU, 5 Sept -- Dokumen bagi penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan membabitkan semua pihak termasuk kerajaan negeri, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan pemegang taruh yang lain.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kementeriannya kini giat menjelajah ke seluruh negara bagi mendapatkan maklumbalas daripada semua yang terlibat sebelum menyediakan perancangan bagi RMK-12 itu.

"Sesi libat urus ini merupakan satu permulaan untuk pihak kementerian terus berbincang dengan pihak Kerajaan Negeri bagi memastikan supaya RMK-12 merupakan satu dokumen yang dimiliki dan dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Jadi pendekatan yang kita ambil bukan sahaja daripada 'top down approach' tapi juga 'bottom up approach' di mana kita mengadakan sesi libat urus ini dengan ahli-ahli akademik, universiti, NGO dan pemegang taruh yang lain yang berperanan dalam memberi maklumbalas kepada pihak kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Bagi Penyediaan RMK-12 di Bilik Gerakan, Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Nazran Muhammad.

Ditanya adakah sebarang projek khusus yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan ketika ini, Mohd Radzi berkata tiada sebarang cadangan spesifik yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak semasa sesi itu.

"Apa yang kita bincangkan adalah pelan pembangunan yang menyeluruh. Apa yang kita inginkan adalah terdapat satu penjajaran antara hasrat Kerajaan Persekutuan dengan hasrat kerajaan negeri. Apa yang perlu diberi keutamaan kita akan bincangkan dengan lebih lanjut kemudian," katanya.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan berkata penyediaan RMK-12 ini akan mengambil pendekatan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merapatkan jurang ekonomi, menstruktur semula ekonomi serta membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu-padu dan hidup dalam harmoni agar Malaysia menjadi paksi untuk ekonomi Asia menjelang 2030.

Menurut kenyataan itu, sesi libat urus yang ke-13 ini juga meneroka keunikan dan kekuatan yang boleh dioptimumkan di Kelantan dalam mencipta Kemakmuran Bersama.

"Di bawah Rolling Plan 4 (2019) RMK-11, Kelantan antara negeri yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan di mana RM1.4 bilion diperuntukkan kepada Kelantan daripada jumlah peruntukan pembangunan keseluruhan. Ini bagi membolehkan pengagihan manfaat sosioekonomi yang lebih baik untuk memastikan pertumbuhan saksama demi meningkatkan kesejahteraan rakyat di Kelantan. 

"Kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan melibatkan Kelantan dengan Thailand. Dalam hal ini, platform dua hala dan kerjasama serantau Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan (JDS) Malaysia–Thailand dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) akan terus dimanfaatkan bagi pembangunan Kelantan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel