CCRcRuvfVSI InsPEK bantu keluarga nelayan keluar dari kemiskinan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

InsPEK bantu keluarga nelayan keluar dari kemiskinan


Tarikh kemaskini: 05/09/2019





PASIR PUTEH, 5 Sept -- Kelantan antara beberapa negeri di Malaysia dikategorikan sebagai negeri miskin dan rakyatnya dikatakan tidak mampu keluar dari ‘perangkap kemiskinan’ yang membelenggu kehidupan harian mereka, walaupun wanitanya sinonim dengan kehidupan berniaga.

Namun begitu, 15 ahli Kumpulan Isteri Nelayan Kelantan (KUNITA) Tok Bali dekat sini, berhasrat mengubah kehidupan, dari hanya bergantung kepada pendapatan suami yang turun ke laut menangkap ikan, kepada bakal peneraju industri makanan berteraskan hasil laut.

Mereka yang berumur antara 20 hingga 65 tahun mendapat bantuan latihan daripada Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) Universiti Malaysia Kelantan.

Bernama yang meninjau aktiviti kumpulan wanita ini, kagum dengan kesungguhan mereka mengikuti kursus lebih setahun menimba ilmu teknologi, dengan 10 daripada mereka mengikuti bidang pembuatan pes makanan segera, manakala lima lagi membuat ikan lunak atau ikan bertulang lembut.

Suhana Ibrahim, 34, berkata peluang mengikuti kursus membuat pes makanan membuka mindanya untuk meneroka bidang penyediaan bahan perapan di masa akan datang dan pes perapan ini tidak sahaja terhad kepada ikan, malah juga boleh digunakan untuk hasil laut lain di samping ayam dan daging.

Dari kursus ini juga saya tahu nilai tambah dari resepi orang lama jika seseorang itu kreatif, katanya sambil menambah peserta didedahkan dengan citarasa timur tengah, barat dan tempatan.

“Akibat kemiskinan keluarga, saya tidak berkesempatan masuk sekolah menengah, tetapi syukur Alhamdulillah saya mampu menjadi sebahagian daripada warga kampus ... walaupun sekadar mengikuti kursus hujung minggu.

"Kursus ini juga menjadikan saya kini lebih menghargai hasil tangkapan suami dan berhasrat menggunakan pes yang dibuat hasil bimbangan Dr Nurhanan, sebagai pemerap ikan lunak.

“Saya hanya belajar cara membuat pes, tetapi ilmu membuat ikan lunak yang dipelajari rakan lain boleh menfaatkan bersama, dalam menghasilkan ikan lunak nanti,” katanya ketika ditemui di tempat memproses makanan di MARDI Padang Pak Amat dekat sini.

Rakannya, Zaiton Dolah, 56, pula berkata beliau bersedia untuk memulakan perusahaan itu secara kecil-kecilan dahulu.

"Ikan yang segar dan diproses segera akan menjadikan ikan lunak yang disediakan lebih elok dan sedap. Selain itu, harga ikan yang diproses akan lebih mahal berbanding hasil jualan ikan segar dan memberi ruang untuk kami golongan isteri nelayan, menyumbangkan kepada pertambahan pendapatan keluarga," katanya yang yakin projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberi pasaran yang baik kepada produk keluaran beliau dan rakan lain di masa hadapan.

Ikan lunak dijual dengan harga bermula RM10 mengikut saiz dan jenis ikan yang digunakan dan ia tidak menggunakan bahan pengawet. Selain itu, ikan lunak dijangka mampu menyaingi ikan sardin kerana rasanya yang menepati cita rasa masyarakat negara ini.

Pengguna boleh memakan terus ikan daripada bungkusan atau dipanas semula selain ia selamat dimakan walaupun mereka sedang menerima rawatan di hospital, pelajar, anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan negara, selain menepati keadaan semasa yang sentiasa mahu pantas, sedap dan segera.

Sementara itu pensyarah UMK, Dr Nurhanan Abdul Rahman berkata pemindahan ilmu dan perkongsian teknologi antara UMK, MARDI dan masyarakat setempat, mampu membuka ruang kepada isteri-isteri nelayan terutama mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Katanya, UMK melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) sudah merangka pelbagai program mengikut kesesuaian pelanggannya (golongan sasaran) dan dari semasa ke semasa memberikan latihan dan bimbingan yang diperlukan.

“Kita mengenal pasti golongan sasar melalui projek ‘Pemetaan Komuniti Miskin Kelantan’ dan universiti sendiri akan turun dalam komuniti untuk pemindahan teknologi dan kepakaran yang diperlukan.

“Universiti komited dalam menukar stigma kemiskinan dalam kalangan masyarakat negeri ini kepada maju dan berjaya,” katanya ketika ditemui di UMK Bachok.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel