Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UTeM bakal tawar dua program baharu pertengahan September ini


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





MELAKA, 4 Sept  -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menawarkan dua program baharu Sarjana Muda Teknologi Kimpalan dan Pemesinan Industri dalam usaha memartabat dan memperkasa agenda transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara, pertengahan September ini. 

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim berkata sebanyak 60 pemegang Diploma Kemahiran Malaysia, Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan dijangka akan mengikuti kedua-dua program itu yang merupakan kerjasama di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

"Kita sudah bersedia menerima pelajar untuk mengikuti dua program baharu ini dan ia mendapat sokongan baik daripada Kementerian Pendidikan dalam pelbagai aspek termasuk dana bagi mewujudkan program berkenaan.

Secara keseluruhan sebanyak 10 program Sarjana Muda Teknologi yang akan ditawarkan di rangkaian MTUN dan setakat ini kita akan mula laksanakan dua dahulu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa 2019/2020 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Noor Effandi Ahmad dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad.

Sementara itu, Raha berkata sebanyak 2,184 mahasiswa dan mahasiswi baharu diterima melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi 2019/2020.

Beliau berkata ia melibatkan 218 pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (166 orang), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (208 orang), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (63 orang), Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (398 orang), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan (413 orang), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (373 orang) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (345 orang).

"UTeM memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan insan holistik, cemerlang dan seimbang dalam segenap aspek keperluan industri dan kehidupan pelajar itu sendiri.

Justeru UTEM akan terus menunaikan tanggungjawabnya mengeluarkan graduan yang berkualiti tinggi, memenuhi aspirasi negara khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat dan pengurusan termaju," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel