Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga kuih resah harga beras pulut naik di Kelantan


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





KOTA BHARU, 4 Sept -- Kenaikan harga beras pulut secara mendadak di Kelantan sejak bulan lepas meresahkan pengguna terutama peniaga kuih yang kemungkinan terpaksa menaikkan harga kuih berasaskan beras berkenaan.

Tinjauan Bernama di beberapa kedai runcit dan juga pasar mendapati bekalan tersebut masih mudah diperoleh namun harganya meningkat berbanding sebelum ini.

Bagi pengguna terutamanya peniaga kuih, keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih bagi memastikan bahan utama dalam menghasilkan kuih itu diperoleh.

Seorang peniaga kuih, Nor Hidayawati Othman, 40, dari Kampung Chempaka berkata kenaikan mendadak harga beras pulut menyusahkan serta membebankannya dan berharap kerajaan prihatin terhadap masalah itu dan melakukan sesuatu dengan segera.

“Jika bulan lalu, harga bagi satu kilogram beras pulut hanya RM5.50, namun kini ianya boleh mencecah sehingga RM8.50 sekilogram,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Ibu tunggal kepada lima anak itu berkata, peniaga memberi alasan kenaikan harga beras pulut dari Thailand yang menjadi pilihan itu disebabkan oleh nilai mata wang Malaysia yang sedikit rendah berbanding Thailand. 

Katanya, kebanyakan peniaga kuih memilih menggunakan beras pulut keluaran berkenaan memandangkan ia lebih tahan lama dan lebih sesuai untuk digunakan membuat aneka kuih yang berasaskan beras pulut. 

“Disebabkan kenaikan harga ini, saya memikir untuk menaikkan harga kuih sehingga RM33 ringgit bagi satu loyang iaitu kenaikan sebanyak RM3 dan sedikit sebanyak ia turut menjejaskan permintaan pelanggan,” katanya.

Seorang peniaga aneka kuih “seri muka”, Siti Mushfirah Yusoff, 40, berkata beliau tidak punya pilihan dan terpaksa membeli memandangkan ia bahan utama bagi menghasilkan kuih berkenaan.

“Walaupun harga beras pulut meningkat naik dengan mendadak, tapi mahu tak mahu, saya terpaksa beli juga, dan ianya cukup terkesan memandangkan saya masih mengekalkan harga jualan kuih pada harga yang lama,” katanya.

Sementara itu, semakan harga di salah sebuah pasar raya di sini menunjukkan satu kilogram beras pulut Thailand berharga RM8.99.

Menurut jurucakap pasar raya itu harga beras pulut itu sebelum ini adalah RM6.99 iaitu harga promosi yang telah tamat beberapa hari lepas.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel