Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sindiket seludup rokok kontraban, arak tiruan di Johor tumpas


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





JOHOR BAHRU, 4 Sept -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok kontraban dan arak tiruan dengan nilai rampasan berjumlah RM560,709 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Laman Setia, di sini, Selasa.

Timbalan Komander PPM Wilayah Dua Supt Noor Azman Jamal berkata dalam serbuan pukul 4 petang yang dijalankan selepas risikan dan intipan pegawainya itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan.

Katanya, sebanyak 10,740 paket rokok pelbagai jenis tidak bercukai kastam serta 840 liter arak tiruan yang diletakkan dalam lima tong biru ditemui dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah itu dan empat buah kenderaan yang berada di kawasan rumah terbabit.

“Nilai rampasan rokok seludup termasuk cukai adalah sebanyak RM137,961, minuman keras tiruan pula adalah bernilai RM167,748 dan nilai keseluruhan kenderaan RM255,000 yang menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak RM560,709,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, empat buah kenderaan itu adalah jenis Toyota Harrier, Perodua Alza, Toyota Estima serta Toyota Hiace dan ketika intipan dilakukan, seorang lelaki sedang memunggah kotak-kotak ke dalam kenderaan berkenaan.

“Dalam serbuan ini juga, kita turut menemui 'raw material' (bahan mentah) dalam beberapa botol, berwarna putih, yang dipercayai digunakan untuk memproses arak tiruan itu.

“Selain itu, kita turut menemui sejumlah penutup botol yang mempunyai pelekat Kastam tiruan,” katanya

Azman berkata rokok seludup dan arak tiruan itu dipercayai adalah untuk pasaran tempatan dan setakat ini pihaknya masih menyiasat sejak bila kegiatan itu aktif.

Kes disiasat mengikut Sesyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut atau membawa barang yang dilarang dan pihaknya membuat permohonan kepada mahkamah hari ini untuk menahan reman suspek.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel