Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Meninggal di hari lahir, isteri tak sempat sambut hari jadi suami


Tarikh kemaskini: 04/09/2019




BATU PAHAT, 4 Sept -- Hasrat seorang isteri hendak menyambut hari ulang tahun kelahiran suaminya sebagaimana tahun-tahun sebelum ini  tidak kesampaian apabila suaminya maut dalam satu  kemalangan jalan raya di Jalan Pagoh-Parit Sulong, dekat sini, Ahad lepas.

Hidayah Mohd Mokhtar, 27, berkata kali terakhir beliau bertemu suami, Muhamad Saiful Mohd Jemain, 31, adalah sehari sebelum kemalangan itu, iaitu ketika arwah yang bekerja sebagai pemandu lori mahu menghantar muatan ikan ke Selayang, Selangor.

Katanya, tiada perkara pelik yang ditunjukkan suami yang selalunya akan menasihatinya agar menjaga diri dan anak-anak, sebelum arwah memulakan perjalanan.

“Ketika kemalangan berkenaan berlaku, sememangnya ia hari lahir arwah…kami telah berbulan-bulan merancang untuk meraikannya, namun saya agak terkilan kerana tidak dapat meraikannya.

“Pada mulanya ketika menerima berita yang arwah suami kemalangan dalam perjalanan pulang, saya sangkakan ia kemalangan biasa tetapi selepas itu saya terkejut dan hampir pengsan apabila mengetahui suami telah tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Melayu Parit Sulong, di sini, hari ini.

Beliau  ditemui selepas penyerahan wang pampasan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Batu Pahat, yang disampaikan oleh Pengurus Cawangan Suhara Mustaffa dan dihadiri oleh Ahli Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) Serudin Md Soud.

Sementara itu, Suhara berkata Hidayah layak untuk mendapat wang pampasan daripada Perkeso kerana arwah suaminya adalah Orang Berinsuran (OB) dan akan dibayar melalui dua jenis bayaran, iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang akan dibayar bermula pada bulan Oktober.

“Bagi bayaran FOT ini, ia akan dibayar secara bulanan dan akan mempunyai dua bahagian iaitu untuk isteri yang akan diberikan seumur hidup, manakala bahagian empat anaknya akan dibayar sehingga usia mereka 21 tahun.

“Bagaimanapun, bayaran untuk bahagian anak OB ini boleh dilanjutkan sekiranya mereka melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah pertama. OB meninggalkan empat anak yang berusia sekitar dua hingga sembilan tahun,” katanya.

Muhamad Saiful maut setelah lori yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi lori dari arah bertentangan di Jalan Pagoh-Parit Sulong kira-kira pukul 6.50 pagi.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel