Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bekas pengawal keselamatan mengadu majikan tidak buat caruman PERKESO


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





KOTA BHARU, 4 Sept -- Seramai 32 bekas pengawal keselamatan  merasa tertipu apabila mendapati bekas majikan mereka tidak membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak tiga tahun lepas sungguhpun gaji mereka dipotong setiap bulan untuk tujuan itu. 

Salah sorang mangsa  Mohd Khairul Rizzuan Mohd Sapawi, berkata mereka menyedari  tiada perlindungan PERKESO sejak 2016 setelah membuat semakan di pejabat PERKESO negeri, beberapa hari lalu.

Mohd Khairul berkata sebelas orang telah tamat kontrak pada 31 Ogos lalu dan kontrak mereka tidak disambung semula atas alasan  banyak "menyusahkan" syarikat termasuklah mengungkit mengenai masalah gaji lambat  manakala kontrak 21 yang lain  akan tamat tidak lama lagi.

"Sebenarnya kontrak sebagai pengawal keselamatan ini ditandatangani setiap tiga tahun sekali. Mereka yang ditamatkan kontrak ini biasanya disambung semula kontrak kerja tetapi kali ini mereka digantikan dengan pekerja baharu pula.

“Apa yang lebih mengecewakan di dalam penyata gaji pekerja menunjukkan pihak  syarikat  membuat potongan untuk caruman PERKESO namun apabila disemak tiada caruman dilakukan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat  aduan di Ibu Pejabat PERKESO Kelantan di Jalan Kampung Sireh, di sini, hari ini.

Syarikat kawalan keselamatan itu diberi tanggungjawab membekalkan pekerja kepada 11 buah sekolah dan sebuah asrama di sekitar Kelantan.

Mohd Khairul berkata mereka amat kesal dan rasa tertipu dengan tindakan syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu.

"Kami berharap aduan yang dibuat ini akan dapat menyelesaikan dengan segera masalah ini dan  berharap tindakan keras diambil ke atas syarikat ini kerana menganiaya pekerja," katanya yang kini masih mencari pekerjaan lain.

Sementara itu, Pengarah PERKESO Negeri Nora Yaacob ketika ditemui mengesahkan menerima aduan daripada 32 pekerja terbabit.

Beliau yang enggan mengulas lanjut bagaimanapun berkata perkara itu  akan dirujuk kepada ibu pejabat PERKESO di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel