Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengurusan Air Pahang perlu jelaskan dakwaan bekalan air pili bomba ditutup


Tarikh kemaskini: 04/09/2019





KUANTAN, 4 Sept -- Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan meminta penjelasan daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berhubung dakwaan penduduk Sungai Lembing di sini, bahawa bekalan air termasuk air pili bomba di situ ditutup pada waktu malam. 

Timbalan Menterinya Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata perkara itu perlu dijelaskan kerana beliau beranggapan tindakan menutup bekalan air pili bomba sementara waktu sebagai tidak wajar ekoran kebakaran boleh berlaku tanpa mengira masa.

"Tidak munasabah untuk menutup bekalan air ke pili bomba. Jika bekalan air perlu dihentikan pada waktu tertentu atas alasan yang kukuh, seharusnya pihak berkenaan mencari alternatif bagi memastikan air pili bomba boleh berfungsi. 

"Tindakan yang boleh dilakukan adalah seperti membina saluran air berbeza daripada kawasan kediaman atau jika tiada, mungkin tangki statik untuk kegunaan bomba pada bila-bila masa perlu dibina," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Tengku Zulpuri Shah ditemui selepas melawat mangsa kebakaran di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini hari ini, bagi menyampaikan sumbangan peribadi RM10,000 kepada mereka. 

Beliau juga berpandangan pengurusan air di seluruh negeri perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berhubung pengurusan air pili bomba supaya masalah bekalan tidak berlaku pada waktu kecemasan. 

Pada kejadian 1.30 pagi 31 Ogos lalu, sebanyak 32 bangunan terdiri daripada 20 unit kedai dua tingkat, 11 rumah setingkat dan sebuah perpustakaan musnah dalam kebakaran yang dipercayai turut mengorbankan sepasang suami isteri warga emas. 

Bomba pada masa itu, berdepan kesukaran bekalan air terhad menyebabkan mereka, dengan bantuan pasukan bomba sukarela Sungai Lembing dan penduduk kampung, mengepam air daripada sungai dan kolam berhampiran.

Kebakaran itu menjejaskan 53 mangsa terdiri daripada 29 keluarga. 

Pada perkembangan lain, Tengku Zulpuri Shah memaklumkan wakil rakyat Pakatan Harapan di Pahang turut membantu mangsa kebakaran itu, dengan sumbanagan mereka akan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman esok.

"Saya juga berharap pembangunan semula kawasan ini akan dilakukan dengan memelihara aspek sejarahnya selaku tapak warisan kerana Sungai Lembing sinonim dengan identiti pekan bekas tapak perlombongan bijih timah," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel