Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kilang proses ayam diarah tutup hingga siasatan selesai


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





JASIN, 3 Sept -- Kilang memproses ayam, HLRB Processing Sdn Bhd, di Merlimau di sini yang mengalami kebocoran gas ammonia diarahkan tutup sehingga kerja-kerja menyahcemar gas dan siasatan punca kejadian selesai dilakukan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata kilang berkenaan diarahkan tutup akibat berlakunya kebocoran kira-kira 11.30 pagi tadi di saluran paip gas ammonia yang digunakan di bahagian untuk menyejuk beku produk makanan keluaran kilang terbabit.

“Susulan itu, setakat ini seramai 26 pekerja kilang berusia antara 20 dan 40 tahun itu iaitu 16 orang dihantar ke Hospital Jasin dan 10 orang dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas dipercayai sesak nafas akibat terhidu gas tersebut.

“Kesemuanya kini berada di zon pemerhatian dan tiada kesan serius.

“Manakala kira-kira 800 pekerja yang lain dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan bantuan pihak swasta dalam proses menyahcemar gas ammonia yang terperangkap dalam kilang terbabit,” katanya pada sidang media di pusat operasi di kilang berkenaan di sini hari ini. 

Beliau yang meninjau kilang itu berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang kebakaran atau letupan berlaku dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Bomba memaklumkan ianya hanya kebocoran pada saluran paip yang disedari oleh seorang pekerja apabila terlihat asap putih.

Afzanizar sehingga kini kawasan di luar kilang berkeluasan enam hektar itu berada dalam keadaan selamat dan penduduk dua kampung berdekatan iaitu Kampung Seri Mawar dan Kampung Paya Redan tidak perlu dipindahkan selain tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Paya Dalam dan Sekolah Menengah Arab Assaiyidah Khadijah tidak ditutup. 

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar berhenti menyebarkan maklumat tidak tepat berkenaan kejadian terbabit kerana ini boleh menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu,  Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan akan berjalan mengikut jadual esok berikutan keadaan sekitar dilaporkan selamat.   

Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari berkata kejadian itu tidak membabitkan penutupan sekolah-sekolah berdekatan tempat kejadian.

Menurutnya, murid-murid hanya dibenarkan pulang awal 12.30 tengah hari tadi selepas mendapat arahan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang meminta kawasan sekolah yang berada kira-kira 1.5 kilometer dari kilang berkenaan dikosongkan bagi langkah keselamatan awal.

"Terdapat 120 murid di sekolah berkenaan, mereka hanya dibenarkan pulang awal bukannya sekolah itu ditutup kerana ia sekolah terdekat dengan kawasan kilang. 

"Alhamdulillah pihak JPBM telah memaklumkan keadaan adalah selamat dan murid tahun enam boleh menduduki peperiksaan UPSR pada hari esok seperti biasa," katanya ketika ditemui pemberita di sini.  

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel