Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Terengganu rampas 60,000 biji pil kuda bernilai RM600,000


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





KUALA TERENGGANU, 3 Sept  -- Polis Terengganu menahan seorang penganggur dan merampas 60,000 biji pil kuda bernilai RM600,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Machang, Manir di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata dengan penangkapan lelaki berumur 34 tahun itu, satu sindiket dadah jenis pil kuda di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dilumpuhkan.

“Hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik dengan disaksikan suspek, polis telah menjumpai satu beg galas berisi empat bungkusan yang mengandungi pil berwarna kemerahan dan kehijauan disyaki pil kuda.

“Turut ditemui sebuah kotak kertas yang mengandungi enam lagi bungkusan yang mengandungi pil yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Aidi berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada suspek, dadah itu diberikan kepadanya oleh rakannya sejak Aidiladha lepas untuk disimpan sebelum diedarkan.  

“Dikatakan kegiatan tersebut baru sebulan dijalankan oleh suspek dan ianya kali pertama dadah tersebut diambil dalam kuantiti yang banyak daripada kawannya yang juga pembekal dan pengedar dadah,” katanya.

Aidi berkata kini pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pembeli dan pengedar dadah tersebut.

Katanya suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau dalam penyalahgunaan dadah itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 8 Sept ini untuk siasatan.

Kes  itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang 15 kali sebatan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel