Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Satu siswa satu pokok, pupuk gaya hidup lestari


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





JOHOR BAHRU, 3 Sept  -- Memulakan kehidupan baru di kampus adalah sesuatu yang menarik bagi siswa baru tapi berapa ramai diberi tanggungjawab untuk turut menjaga pokok sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka sepanjang berada di kampus?

Untuk siswa-siswi kemasukan baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bermula hari ini, ia bukan sahaja menjadi satu pengalaman baharu bagi mereka, tapi turut memupuk semangat bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar pada diri mereka.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata pendaftaran pelajar baharu kali ini bukan sekadar didedahkan dengan pengajian semata-mata, sebaliknya akan turut melatih mahasiswanya dalam mengamalkan gaya hidup lestari memandangkan merekalah yang akan mencorakkan masa hadapan negara kelak.

Menerusi program yang dipanggil “myTREEvolution”, mahasiswa dan mahasiswi akan diamanahkan dengan sebuah pokok yang mereka akan tanam sendiri dan perlu dijaga oleh pelajar itu sendiri dari awal pendaftaran mereka sehingga mereka tamat pengajian.

“Kita juga nak menambahkan oksigen dalam kampus kita ini. Kampus kita dah hijau, tetapi kita nak galakkan lebih banyak penanaman pokok.

“Projek ini dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Johor akan dimulakan Khamis ini. Pelajar-pelajar baharu kita akan menanam pokok dalam kampus sekali gus mengembangkan potensi diri mereka secara tidak langsung,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Pokok-pokok berkenaan akan diberi kod respon pantas khas dan pelajar berkenaan akan diberi merit untuk penjagaan pokok mereka yang akan menggunakan satu aplikasi yang dibangunkan UTM sendiri, yang mana mereka sendiri akan memantau tumbesaran pokok berkenaan menerusi aplikasi itu.

“Selain itu, kita telah perkenalkan sesuatu (yang) drastik kepada pelajar-pelajar baharu ini. Mereka telah diminta membawa dan menggunakan botol air dan bekas makanan sendiri sepanjang berada di kampus. Kita tak mahu mereka pakai plastik yang pakai buang sebab kita nak galakkan sisa sifar dalam kampus.

“Kafe-kafe kita juga tidak akan menggunakan polistirena, plastik yang pakai sekali, tak mahu dah. Itu antara usaha kami kerana kami yakin pendidikan kepada generasi baru ini termasuk mereka perlu belajar dalam keadaan hidup yang lestari,” kata Wahid.

Sejumlah 3,780 pelajar peringkat Sarjana Muda ditawarkan mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di UTM termasuk 698 orang pelajar antarabangsa dari Indonesia, Mesir, Yaman, Libya, Switzerland dan Mauritius.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel