Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tujuh anggota sindiket tawar pinjaman tidak wujud ditahan


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





SHAH ALAM, 3 Sept  -- Polis menahan tujuh anggota sindiket pinjaman tidak wujud secara dalam talian membabitkan kerugian sekitar RM638,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Puteri, Klang dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor ACP Fazlisyam Abd Majid berkata penahanan anggota sindiket yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita tempatan dalam serbuan kira-kira pukul 4.15 petang itu berdasarkan maklumat awam wujudnya kegiatan mencurigakan di premis terbabit.

Beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu adalah 14 telefon bimbit, 12 kad pengeluaran wang automatik pelbagai bank, enam kad sim telefon bimbit, dokumen maklumat mangsa, dua skrip panggilan telefon serta dua kereta.

“Siasatan awal mendapati sindiket tersebut aktif sejak enam bulan lepas dengan menyasarkan unit kediaman sebagai pusat operasi. Anggota sindiket turut menetap di rumah yang disewa itu namun sering berpindah-randah bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini mempromosikan tawaran pinjaman tidak wujud menerusi media-media sosial. Hasil soal siasat mendapati anggota sindiket dibayar gaji sebanyak RM1,500 sebulan serta dijanjikan komisen berdasarkan jumlah penipuan yang berjaya mereka lakukan,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Fazlisyam berkata, kesemua yang ditahan berumur 19 hingga 32 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, polis kini sedang memburu dalang sindiket itu dan percaya terdapat ramai lagi anggota sindiket tersebut yang masih bebas.

Dalam pada itu, beliau berkata sindiket pinjaman tidak wujud merupakan antara kes yang banyak dilaporkan di Selangor dengan 378 kes direkodkan bagi tempoh Jan hingga Jun lepas melibatkan kerugian RM4.4 juta.

Katanya, kebanyakan mangsa penipuan itu terdiri daripada individu berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun kerana mereka dilihat memerlukan wang dengan kadar segera bagi menampung kos keperluan hidup yang tinggi.

Dalam perkembangan lain, Fazlisyam berkata polis sedang mengesan seorang individu dikenali sebagai Mohsin Bujang beralamat di Kondominium Desa Cahaya, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dekat sini bagi membantu siasatan kes penipuan projek kediaman rumah mampu milik.

Beliau berkata lelaki berumur 64 tahun itu dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam kes tersebut serta pelbagai kes penipuan lain antaranya kes ‘Datuk’ palsu.

“Kerugian mangsa berkaitan kes penipuan tersebut dianggarkan berjumlah RM1 juta. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki berkenaan boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran,” katanya.

Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes penipuan tersebut iaitu Insp Inbaraja Dhanasekaran di talian 014-6692966, Insp Nur Syahirah Ahmad 019-3176785 atau Insp Mohamad Adib Ashraff 017-9888910.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel