Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pakej 5 CSR laluan Raub-Bentong dijangka siap Sept 2020


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





BENTONG, 3 Sept -- Projek pembinaan Pakej 5 Central Spine Road (CSR), membabitkan  laluan dari Raub ke Bentong sepanjang 54 kilometer (km) dijangka siap sepenuhnya pada September 2020.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata laluan tersebut kini sudah 87 peratus siap dan bakal menjadi laluan alternatif bagi mengatasi kesesakan lalu lintas, serta memberi keselesaan kepada pengguna.

“Kita tahu anak perantauan akan pulang pada musim perayaan atau musim cuti sekolah dan mereka memerlukan perjalanan yang lebih baik serta selesa, kerana kemalangan yang meragut nyawa sering berlaku di jalan ini (laluan tersebut).

“Saya rasa perjalanannya sangat menarik apabila laluan ini disiapkan dan kita boleh bayangkan pengaruhnya sangat besar kepada keadaan ekonomi dan sosial di kawasan ini, Bentong terutamanya akan menerima kesan ekonomi yang besar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke tapak projek Pakej 5 CSR di Bulatan Mempaga di sini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen.

Menurut Mohd Anuar, Pakej 5 itu bermula pada Racangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), dengan kos yang diluluskan sebanyak RM631.98 juta.

Tambahnya, Pakej 5 dibahagikan kepada tiga Seksyen Pembinaan, iaitu Seksyen 5C1, Seksyen 5C2 dan Seksyen 5D yang telah dimulakan secara berperingkat mulai November 2015 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh RMK-11 iaitu pada tahun 2020.

Sebelum ini dilapor, projek CSR dibahagikan kepada enam pakej utama iaitu Pakej 1 melibatkan Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan, sepanjang 47 km; manakala Pakej 2 (Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan) sepanjang 59 km; Pakej 3 (Gua Musang ke Kampung Relong, Kuala Lipis) sepanjang 93.8km; Pakej 4 (Kampung Relong, Kuala Lipis ke Raub) sepanjang 50 km; Pakej 5 (Raub ke Bentong) sepanjang 54km; dan Pakej 6 (Bentong ke Simpang Pelangai), sepanjang 47.5km.

Berhubung keenam-enam pakej secara keseluruhannya, Mohd Anuar berharap ia dapat disiapkan secepat mungkin.

“Kita jangkakan, kira-kira sejuta pengguna dari Lembah Klang akan menggunakan laluan (CSR) ini sekali gus dapat mengatasi masalah kesesakan, keselamatan, dan keselesaan,” tambahnya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel