Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sumber industri bukan punca ikan mati di Pantai Lido


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





JOHOR BAHRU, 3 Sept  -- Kejadian penemuan ikan yang mati terdampar di Pantai Lido, di sini, pada 28 Ogos lepas, bukan berpunca daripada pelepasan efluen dari sumber industri mahu pun kumbahan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon.

Ini berdasarkan siasatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menjalankan bacaan in-situ air di lokasi kejadian.

Siasatan turut membabitkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan Jabatan Perikanan Daerah Johor Bahru yang menganalisis sampel air dari perairan berkenaan dan pihak polis.

“Siasatan awal JAS berdasarkan bacaan in-situ air di lokasi kejadian mendapati perairan berkenaan (pantai) bebas daripada sebarang efluen yang dilepaskan dari sumber industtri atau kumbahan.

“Sebaliknya, bacaan in-situ daripada JAS disimpulkan sebagai merujuk kepada perubahan ekosistem yang berlaku di perairan itu,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tan berkata bacaan parameter in-situ bagi Kadar Oksigen Terlarut bagi kesesuaian hidupan laut adalah 5.0 mg/l (milligram setiap liter) berbanding kadar DO sebenar yang dicatatkan di perairan Pantai Lido kira-kira 3.6 mg/l.

Oleh itu, dapatan itu menjadi kesimpulan yang dirujuk oleh pihak JAS sebagai perubahan ekosistem di perairan berkenaan, yang menjadi punca kepada kejadian ikan mati, katanya.

Tan berkata beliau telah meminta JAS agar terus memantau kualiti air di perairan berkenaan dan mengambil tindakan pembetulan bagi memastikan kejadian seumpama tidak berulang.

Dalam masa sama, beliau berkata peranan Jabatan Perikanan Malaysia juga diperlukan bagi melengkapi usaha JAS dalam mendepani perubahan ekosistem di perairan itu untuk jangka masa panjang.

Isu penemuan ikan mati itu menjadi tular selepas seorang pengguna Facebook memuatnaik gambar kejadian ke akaunnya sebelum dikongsi orang ramai.  

Kejadian dipercayai berlaku di kawasan Pantai Lido, berhadapan Hospital Sultanah Aminah.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel