Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kes denggi di Johor meningkat 101.2 peratus dari Januari hingga 31 Ogos


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





JOHOR BAHRU, 3 Sept  -- Kes denggi di negeri ini meningkat secara mendadak bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos kepada 7,761 kes, iaitu peningkatan 101.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata bagi tempoh yang sama tahun lepas, kes denggi yang dilaporkan 3,857 kes.

Bagi tempoh yang sama tahun ini, 19 kes melibatkan kematian dengan lapan dilaporkan berlaku di daerah Johor Bahru manakala kes selebihnya di Batu Pahat, Kluang dan lain-lain daerah. Bagi tempoh yang sama tahun lepas dilaporkan 12 kematian. 

“Daerah Johor Bahru masih daerah tertinggi melaporkan kes denggi iaitu 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes diikuti Kluang (6.1 peratus), Kulai (4.2 peratus), Batu Pahat (3.5 peratus), Muar (2.4 peratus), Kota Tinggi (2.1 peratus) dan Segamat (2.0 peratus), Tangkak (1.9 peratus), Pontian (1.5 peratus) dan Mersing (1.4 peratus),” beliau memberitahu sidang media pada Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) di Kawasan Wabak Denggi di Taman Damai Jaya, Skudai di sini, hari ini. 

Semua daerah menunjukkan peningkatan kes namun peningkatan kes tertinggi dilihat di daerah Mersing dengan peningkatan 522 peratus disusuli daerah Kluang dengan peningkatan 319 peratus.

 Bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini, kes di Mersing meningkat kepada 112 kes berbanding hanya 18 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala di Kluang, kes meningkat kepada 470 kes pada tempoh yang sama tahun ini berbanding 112 kes pada 2018.

Mohd Khuzzan berkata pembiakan nyamuk aedes disebabkan pembuangan sampah yang tidak teratur masih menjadi faktor penyumbang utama kepada peningkatan kes denggi ini.

Selain itu, terdapat segelintir pemilik premis masih enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuatkuasa untuk membersihkan kawasan masing-masing walaupun sudah diberikan notis amaran oleh Jabatan Kesihatan.

“Sehubungan itu, operasi OPPI akan terus dilaksanakan di beberapa lokaliti untuk memastikan mereka sedar dan mengambil tindakan yang sepatutnya di dalam menghalang pembiakan nyamuk aedes. 

“Ia merupakan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan, SWCorp dan polis, yang mana jika dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, maka kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya kompaun gagal dibayar, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali di mahkamah,” katanya.

Dari tempoh 1 Jan sehingga 24 Ogos ini, sebanyak 3,551 kompaun bernilai RM1.74 juta telahpun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan menerusi pemeriksaan rutin mereka ke atas premis berisiko di seluruh negeri Johor.

“Sebagai penyelesaian jangka masa panjang, saya telah mencadangkan kepada Jabatan Kesihatan agar membuka setiap ‘stop’ (hentian atau kaunter) di pasar malam, pasar pagi dan pasir tani bagi membolehkan kita memberi penerangan mengenai bahayanya aedes. 

“Selain itu, satu mesyuarat bersama petugas khas denggi akan diadakan pada minggu hadapan bagi membincangkan lagi apakah langkah seterusnya yang akan diambil untuk memastikan kita dapat mengurangkan jumlah kes ini,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel