Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kos naik taraf Landasan Berkembar KVDT2 RM4.475 bilion - Loke


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





RAWANG, 3 Sept (Bernama) – Kos fasa kedua projek menaik taraf kemudahan infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2) yang disambung hari ini adalah 15 peratus lebih rendah pada RM4.475 bilion dan mampu siap dalam tempoh lima tahun berbanding sasaran tujuh tahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook jaminan masa lebih singkat itu dimaklumkan oleh pemaju projek Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang membentuk syarikat usaha sama, Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.

“Walaupun kerajaan telah menetapkan tempoh maksimum tujuh tahun bagi projek ini namun Dhaya Maju LTAT sebaliknya yakin bahawa mereka mampu menyiapkannya dalam tempoh lima tahun.

“Jika keadaan ekonomi negara semakin kukuh, kerajaan akan mempertimbangkan (pelaksanaan projek dalam tempoh lima tahun).

“Ini kerana, meskipun ia sesuatu yang boleh dicapai, (namun) kerajaan perlu mengambil kira peningkatan kos sekiranya tempoh masa tersebut disingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran KVDT2 di Serendah dekat sini, hari ini.

KVDT2  membabitkan usaha baik pulih dan naik taraf landasan kereta api  KTMB Bhd sejauh 265 kilometer meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Antara skop kerja KVDT2 adalah menggantikan landasan berusia 25 tahun itu dengan yang baharu, menaik taraf dan menyelenggara sistem elektrik, komunikasi dan menambah baik stesen-stesen terbabit.

Mengulas selanjutnya, Loke turut memberi jaminan bahawa pengurangan daripada kos asal sebanyak RM5.265 bilion itu tidak akan menjejaskan aspek kualiti dan kerja terbabit.

 “(Bagaimanapun), terdapat beberapa skop kerja kurang penting telah dikurangkan termasuk projek menaiktaraf 10 stesen di sepanjang laluan tersebut yang akan dikendalikan oleh Perbadanan Aset Keretapi.

“Kerajaan juga mengambil maklum bahawa terdapat beberapa lokasi di jajaran KVDT2 yang kerap mengalami banjir, sekali gus menjadi faktor kepada kejadian kegelinciran. Justeru, usaha naik taraf ini bertujuan untuk meningkatkan mutu dan keselamatan perkhidmatan kereta api terutamanya untuk kereta api komuter dan tren elektrik (ETS),” katanya.

Beliau turut mengambil maklum cabaran Dhaya Maju LTAT untuk menyambung semula projek itu pada kos lebih rendah dan memuji syarikat tersebut kerana membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Semua tindakan dan keputusan kerajaan untuk menghidupkan semula satu persatu projek infrastruktur negara adalah bertujuan untuk merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata usaha baik pulih landasan itu juga tidak akan menjejaskan tempoh kekerapan pengangkutan awam lain yang menggunakan rel itu seperti ETS dan komuter KTM.

Pada masa ini, kira-kira 20-30 peratus daripada tugas-tugas persiapan awal bagi pelaksanaan KVDT2 sudah dimulakan dan akan dijalankan dalam 60 peringkat berbeza bagi meminimumkan impaknya terhadap operasi KTMB.

“Usaha naik taraf ini dijalankan di landasan yang digunakan secara aktif dan ini antara halangan yang dihadapi pihak DMIA dan LTAT,” katanya.

Dhaya Maju juga merupakan kontraktor KVDT1 dan setakat 30 Ogos, 2019 sebanyak 80.3 peratus daripada usaha itu telah siap dan dijangka diserahkan pada tahun depan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel