Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis rampas dadah bernilai hampir RM20,000 dalam dua serbuan di Kota Bharu.


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





KOTA BHARU, 3 Sept -- Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu merampas sejumlah dadah bernilai hampir RM20,000 dalam dua serbuan di sini, pada 30 Ogos dan awal pagi semalam.

Dalam operasi itu juga polis menahan lima lelaki berumur antara 28 hingga 44 tahun disyaki sebagai pengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud berkata, kesemua suspek dalam kes berkenaan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah serta positif Methamphetamine selepas ujian saringan awal dilakukan.

Beliau berkata, dalam kes pukul 12.10 tengah malam semalam (2 Sept), polis menyerbu sebuah rumah sewa di Kampung Sungai Budor dan menahan tiga lelaki berumur antara 31 hingga 44 tahun.

Ketika serbuan kesemua suspek sedang mengisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin ke dalam tiub straw dipercayai untuk diedarkan.

"Pemeriksaan di sekitar ruang tamu menemui satu beg kecil di mana di dalamnya terdapat tujuh botol plastik bertudung kuning mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

"Kesemua suspek dan barangan rampasan dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut. Mengikut siasatan awal kesemua dadah yang dirampas seberat 55.73 gram dan dianggarkan bernilai RM14,500," katanya pada sidang media di IPD Kota Bharu di sini, hari ini.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjong Mas pada 30 Ogos lepas, Abdul Rahim berkata, polis turut menahan dua lelaki berumur 28 dan 30 tahun serta merampas sejumlah 516 biji pil Yaba, yang kesemuanya dijumpai di dalam beg berzip yang disembunyikan di dalam seluar dalam yang dipakai oleh seorang daripada suspek.

"Kedua-dua suspek dalam kes ini juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Hasil siasatan mendapati kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM5,160 itu akan diedarkan di sekitar Kota Bharu dan Bachok," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata kesemua suspek di dalam kedua-dua kes ditahan reman selama seminggu bermula pada hari ditahan iaitu sehingga 5 dan 8 Sept ini untuk siasatan lanjut, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel