Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bandar Taiping dipilih Bandar Mesra Usia di rantau Asia Tenggara


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





TAIPING, 3 Sept -- Bandar Taiping akan dipilih sebagai satu-satunya Bandar Mesra Usia di rantau Asia Tenggara yang bakal dilancarkan di Hotel Taiping Perdana di sini pada 30 Sept ini, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Borhan Abdul Halim.

Beliau berkata bandar warisan itu dipilih selepas penarafan dibuat oleh MPT dengan melaksanakan pelbagai kriteria di antara ratusan kriteria yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mencapai taraf Bandar Mesra Usia dalam tempoh lima tahun.

Katanya, lebih RM1 juta dibelanjakan MPT dalam proses kajian yang dilakukan sejak dua tahun lepas menerusi geran dari Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDPP).

“Penarafan ini bukan sahaja membuatkan Taiping dikenali di mata dunia malah bandar ini akan turut dilihat sebagai “bandar orang pencen” yang dapat menarik golongan pesara untuk menetap di bandar ini sekaligus menarik pelabur luar untuk melabur di sini.

“Pihak WHO akan datang untuk membuat pemeriksaan kriteria yang dibuat di sini dan pihaknya akan melaksanakan beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPT di Wisma Perbandaran Taiping, di sini, hari ini.

Borhan berkata, malis pelancaran sebagai Bandar Mesra Usia dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, beliau berkata sebuah lukisan mural ‘Amelia Mary Earhart’ telah disiapkan dalam tempoh sembilan hari oleh pelukis Datuk Chen Teck Meng dan pembantunya Khok Chai Ong pada dinding sebuah bangunan kedai dua tingkat, di Jalan Abdul Jalil, di sini.

Borhan berkata, mural bernilai RM280,000 itu dilukis bagi mengiktiraf Earhert sebagai juruterbang wanita pertama yang terbang solo ke Taiping. Mural itu mula dilukis pada 22 Ogos dan siap pada 30 Ogos lepas.

Mural itu menggambarkan wanita Amerika, Earhart, seorang perintis penerbangan dan seorang pengarang lahir di Atchinson, Kansas, Amerika Syarikat pada 24 Julai 1897 yang telah mencipta beberapa kejayaan dalam penerbangan.

Pada 1 Jun 1997, Earhart telah berlepas dari Miami, Florida, Amerika Syarikat bersama pembantunya Fred Noonan dengan pesawat dua enjin Lockheed Electra dalam misi penerbangannya mengelilingi dunia telah berhenti di beberapa tempat termasuk di lapangan terbang Tekah, Assam Kumbang di Taiping untuk mengisi minyak.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel