Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tengku Hassanal dimasyhur Canselor KUIPSAS


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





KUANTAN, 3 Sept  -- Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah hari ini dimasyhur sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). 

Istiadat pemasyhuran itu berlangsung serentak dengan Konvokesyen ke-18 KUIPSAS 2019 yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pro Canselor KUIPSAS mengumumkan pemasyhuran Tengku Hassanal selaku Canselor sebelum menyarungkan jubah sebagai simbolik kepada pemasyhuran itu. 

Tengku Hassanal merupakan Canselor KUIPSAS kedua menggantikan nenda baginda Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang menggalas tanggungjawab itu bermula Feb 2016 sehingga kemangkatan baginda pada 22 Mei lalu.  

Dalam  titah baginda, Tengku Hassanal menzahirkan rasa terharu dengan kepercayaan daripada kerajaan negeri dan pihak universiti bagi meneruskan perjuangan Almarhum Sultan Ahmad Shah. 

-- LAGI 

 

TENGKU HASSANAL-CANSELOR 2 KUANTAN 

 

"Saya berjanji akan meneruskan hasrat dan kepimpinan almarhum nenda saya untuk melihat KUIPSAS terus berkembang ke arah melaksanakan peranannya sebagai pusat pendidikan berteraskan Islam, khususnya untuk rakyat Pahang.

"Para graduan juga perlu bersedia memberi sumbangan dalam apa jua bentuk bagi memajukan dan membantu universiti ini baik dari segi pemikiran mahupun kewangan supaya KUIPSAS terus maju," titah baginda.

Tengku Hassanal juga menzahirkan hasrat mahu melihat pentadbiran KUIPSAS yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah terus melahirkan graduan dan ilmuan yang holistik serta berupaya menyumbang kepada masyarakat.

KUIPSAS, menurut baginda, sepanjang 23 tahun penubuhannya telah melahirkan lebih 5,000 graduan dan kepada 360 graduan yang menerima dilopma pada konvokesyen itu, Tengku Hassanal menasihatkan mereka supaya tidak mudah berpuas hati. 

"Perjalanan hidup graduan masih jauh dan panjang... dengan tuntutan dunia tanpa sempadan, revolusi industri 4.0 dan iklim ekonomi dunia yang penuh ketidakpastian, siswa siswi tidak harus berasa selesa dan cukup dengan segulung ijazah. 

-- LAGI 

 

TENGKU HASSANAL-CANSELOR 3 (AKHIR) KUANTAN 

 

"Pastikan diri diperkukuh dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan tuntutan zaman seperti kemahiran komunikasi, daya kepimpinan yang tinggi, aspek keusahawanan dan kemahiran teknologi maklumat," titah baginda. 

Pada majlis itu, Tengku Hassanal juga berkenan menerima peruntukan kewangan RM100,000 daripada Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan kepada KUIPSAS bagi membina Akademi Hadis.

Pembinaan Akademi Hadis itu bertujuan mengumpul dan mendokumentasikan manuskrip hadis dan menyediakan prasarana serta kemudahan berkaitan yang merupakan amanat dan hasrat Almarhum Sultan Ahmad Shah semasa hayat baginda.

-- BERNAMA

 

 


NANB SSS AKT

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel