Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Latihan kemahiran kepada bekas banduan dan bekas penagih dadah


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





SEREMBAN, 3 Sept -- Kerajaan negeri sedang menimbang cadangan sebuah syarikat untuk menyediakan latihan kemahiran kepada bekas banduan dan bekas penagih dadah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata cadangan oleh Senawang Advanced Skill Training Sdn Bhd untuk menyediakan latihan kemahiran dalam bidang automotif dan pertanian kepada bekas banduan dan bekas penagih dadah adalah satu cadangan yang baik.

"Saya akan melihat lebih terperinci cadangan daripada syarikat tersebut untuk kita perhalusi sama ada ia boleh dilaksanakan atau pun tidak. Cadangan ini adalah sebagai satu usaha pencegahan.

"Kerajaan negeri melihat permasalahan bekas banduan dan bekas penagih dadah sebagai satu masalah yang serius yang sepatutnya semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan usaha diambil bagaimana untuk kita memastikan tidak ada kes berulang, sama ada kes banduan mahu pun kes penagih dadah," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan perbincangan dengan Senawang Advanced Skill Training Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Senawang Advanced Skill Training Sdn Bhd Mohd Zahaisha Shariff, Timbalan Pengarah Penjara negeri Shahrul Nizam Husain dan Penolong Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri Mohd Azli Senin @ Siman.

Mengulas lanjut, beliau berkata di sebalik sisi hitam golongan bekas banduan dan bekas penagih dadah ini, mereka sebenarnya kuat bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun stigma segelintir majikan dan masyarakat yang menebal menyebabkan mereka sukar diterima bekerja.

Malah, katanya Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengakui ada majikan masih takut untuk mengambil bekas banduan dan bekas penagih bekerja.

"Oleh itu, bagaimana untuk kita mengubah pandangan masyarakat dan bagaimana kita untuk memdidik golongan ini semula supaya mereka boleh bersama masyarakat semula. Usaha perlu dibuat untuk mengelak mereka mengulangi perbuatan mereka.

"Untuk itu, kita akan bekerjasama dengan pihak Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), MEF dan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) untuk membuat program penyerapan golongan ini semasa masih dalam tahanan lagi," katanya.

Sementara itu, Mohamad Rafie berkata kerajaan negeri akan memperuntukan dana untuk modal insan dan ini akan dibentangkan dalam Belanjawan 2020 pada bulan November ini.

"InsyaAllah kita akan melihat bagaimana kita juga memainkan peranan untuk membantu dari segi peruntukan kewangan  dalam usaha untuk kita juga boleh membantu usaha-usaha seperti ini," katanya.

-- BERNAMA     


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel