Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hukuman sebat mandatori terhadap penjenayah hidupan liar dicadang - PDRM


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





BIDOR, 3 Sept -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan hukuman lebih berat seperti sebatan mandatori dikenakan terhadap penjenayah yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata cadangan itu yang akan dibawa kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang merupakan  inisiatif PDRM dalam membanteras isu pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar di negara ini.

"Pihak polis turut menggerakkan elemen-elemen di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) termasuk cawangan udara dan polis marin menerusi Op Bersepadu Khazanah bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membanteras jenayah hidupan liar di hutan, udara dan laut.

"Operasi yang sebelum ini diselaraskan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) turut dimantapkan dengan melibatkan kepakaran dari Pasukan Elit Senoi Praaq dari Batalion 3 dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah KDNKA terdiri dari suku kaum asli yang amat mahir dan berkeupayaan menjejak musuh di dalam hutan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Op Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Abdul Hamid berkata sebanyak 13 laluan panas penyeludup hasil hutan dan haiwan terkawal telah dikenal pasti di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Antara laluan itu katanya adalah Padang Besar, Perlis; Bukit Kayu Hitam, Kedah; Pangkalan Hulu, Perak; Rantau Panjang dan Bukit Bunga, Kelantan; Terminal Bersepadu Selatan, Sungai Besi di ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata PDRM akan mengetatkan pemberian lesen senjata api dan syarat pemberian permit memburu di negara ini bagi melindungi hidupan liar yang terancam kerana terdapat pemburu haram yang ditahan terdiri daripada warga tempatan.

"Sebanyak 7,400 daripada hampir 30,000 yang memperoleh lesen senjata api diberikan permit memburu jadi kita akan mengetatkan syarat pemberian permit itu dengan membatalkan permit mereka yang sudah tidak relevan untuk memiliknya bagi mengelakkan ia digunakan untuk memburu haiwan di hutan sewenang-wenangnya,” katanya.

Katanya Op Bersepadu Khazanah fasa pertama tertumpu kepada zon utara tanah air melibatkan kawasan Ulu Muda, Bintang Hijau, Tasik Banding, Temenggor, Belum dan Bintang Hijau Belum dengan kekuatan seramai 57 orang terdiri daripada Pasukan Senai Praaq dan Polis Marin serta 22 petugas Jabatan Perhilitan.

"Permit memburu diberikan bukan untuk memberi kebebasan melakukan aktiviti memburu secara bebas di dalam hutan tetapi perlu memenuhi syarat-syarat dari Jabatan Perhilitan," katanya.

Katanya sebanyak 154 tangkapan dilakukan bagi kes haiwan eksotik dan alam flora sejak 2017 sehingga kini melibatkan warga tempatan dan asing termasuk China, Indonesia dan Filipina.

Beliau berkata nilai rampasan keseluruhan bagi kes dalam tempoh sama adalah melebihi RM51 juta meliputi rampasan seperti pasir laut, kayu balak, kayu bakau, Orang Utan, Musang, Burung Murai Batu dan cengkerang penyu termasuk rampasan ke atas aset dan kenderaan yang digunakan bagi tujuan penyeludupan.

Sementara itu, Abdul Kadir dalam ucapannya berkata penceroboh asing yang terdiri daripada bekas tentera berdasarkan uniform, kelengkapan dan senjata yang dibawa dan kad pengenalan diri yang dirampas berupaya mengancam keselamatan anggota penguat kuasa Jabatan Perhilitan yang melakukan rondaan penguatkuasaan di hutan.

"Modus operandi mereka ialah memasuki kawasan perlindungan seperti Taman Negara secara berkumpulan untuk mencuri hasil hutan seperti pokok gaharu dan memburu hidupan liar untuk suatu tempoh masa antara seminggu hingga dua minggu. 

"Hasil daripada aktiviti jenayah mereka ini kemudiannya akan diseludup keluar melalui pelbagai laluan sama ada secara sah atau tidak," kata Abdul Kadir.  

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel