EeJpB8wxD7g Tiada kompromi terhadap pihak bangkit isu sensitif - Muhyiddin
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada kompromi terhadap pihak bangkit isu sensitif - Muhyiddin


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





PUTRAJAYA, 3 Sept -- Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif menerusi penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat, namun maklumat yang dikongsi perlulah disahkan kebenarannya bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang menimbulkan fitnah dan kebencian sehingga menyebabkan rakyat merusuh.

"Terdapat garis yang halus antara kebebasan bersuara dengan ucapan yang menggalakkan kebencian dan keganasan," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Dalam hal itu, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dilihat lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara. 

"Tindakan yang diambil perlu adil tanpa mengira siapa atau latar belakang individu-individu yang cuba untuk memainkan isu sensitif dengan bertujuan untuk memporak-perandakan negara,” katanya, yang memberi amaran tegas serta mengarahkan PDRM tidak bertolak ansur dalam keadaan sedemikian. 

Muhyiddin berkata kerajaan khususnya KDN sedang berhadapan dengan pelbagai isu terutama yang melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R) yang telah disensasikan dengan tujuan untuk menggugat kerajaan baharu supaya dilihat tidak melindungi ketiga-tiga aspek tersebut.

"Isu ini semakin hangat apabila tindakan kerajaan dipertikaikan seolah-olah kerajaan gagal melaksanakan fungsinya. 

"Saya percaya peranan kita terutama warga KDN sangat penting bukan sahaja sebagai agensi penguat kuasa malah berperanan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar," katanya.

Dengan peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat daripada 86.3 peratus pada 2017 kepada 96.5 peratus pada 2018, penggunanya seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab dengan tidak menyalahgunakan platfom itu untuk memanipulasi maklumat, menularkan berita palsu dan fitnah yang hanya akan mengelirukan pemikiran masyarakat, katanya.

Mengenai pencapaian KDN, Muhyiddin berkata kementerian itu telah mencapai penarafan lima bintang dalam prestasi pengurusan kewangan dengan skor 94.84 peratus pada tahun 2018 berbanding 88.38 peratus pada tahun 2017. 

Katanya KDN juga telah mencapai tahap cemerlang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan iaitu kekal lima bintang dari tahun 2018.

Dari segi pencapaian setengah tahun Indikator Prestasi Menteri (MPI) 2019 pula, KDN mencapai 90.80 peratus sehingga 30 Jun lepas, katanya.

"Daripada 27 aktiviti yang telah ditetapkan, 20 aktiviti yang melebihi 80 peratus dan lima aktiviti berada di antara 50 hingga 70 peratus dan dua aktiviti hanya akan dinilai pada penghujung tahun," katanya.

Muhyiddin berkata beliau percaya semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pada tahun ini akan dapat dicapai seperti yang disasarkan berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan sebelum ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel