Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Inovasi cendawan : dari jus ke makanan sihat


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





Oleh Bashariah Zainuddin

JERTEH, 3 Sept -- Pelbagai inovasi penyediaan makanan boleh diperkenalkan dengan menggunakan cendawan terutama cendawan tiram.

Presiden Persatuan Penyelidikan Cendawan Malaysia (PPCM), Dr Azhar Mohamad berkata antara lain cendawan boleh menjadi pengganti santan untuk masakan termasuk penyediaan nasi lemak dan membuat kuah, penyedap rasa bubur nasi, bahan utama untuk dibuat lempeng serta kuih kodok, selain dibuat minuman lazat seperti jus atau teh.

“Cendawan juga boleh dijadikan sos untuk disapu pada kepingan roti atau makan sebagai sup pada setiap pagi khususnya apabila kerajaan memperkenalkan pemberian makanan percuma kepada 7.2 juta murid sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau juga mahu orang ramai memerdekakan minda dan berani mencuba perkara baharu untuk kegunaan harian, tidak lagi bergantung kepada  bahan mentah zaman nenek moyang dalam menyediakan makanan lebih berkhasiat.

Katanya serat yang berkualiti yang terdapat di dalam cendawan mampu menggantikan daging atau sumber protein lain yang diperlukan badan untuk terus sihat.

“Ramai yang tidak tahu, cendawan boleh menggantikan daging atau ayam dalam menu malah bagi mereka yang mengamalkan diet vegetarian, cendawan boleh menjadi makanan utama.

“Kita perlu merdekakan fikiran kita yang hanya daging dan kerang-kerangan mampu memberikan sumber protein yang dikehendaki badan,” katanya.

Mengingat kembali pembabitan beliau dalam industri cendawan, Dr Azhar berkata ia bermula sejak lebih 10 tahun lalu iaitu semasa cendawan mula diperkenalkan secara komersial di negara ini.

Katanya, ketika itu orang ramai perlu diberi tunjuk ajar bagaimana memakan atau menggunakan cendawan terutama spesies cendawan tiram kelabu dan tiram putih.

Sebelum ini, masyarakat hanya makan cendawan busut atau lebih dikenali kulat tahun yang tumbuh liar sekali setahun dan cendawan sisir yang banyak ditemui di batang pokok getah tumbang.

Namun begitu, apabila cendawan tiram diperkenal, masyarakat tidak berani mencuba kerana ia bukan perkara biasa di samping bimbang ia boleh mendatangkan mudarat bagi mereka.

Dengan sebab itu, ramai penanam cendawan tidak  dapat memasarkan hasil tanaman mereka dan untuk mengurangkan kerugian, ada antara mereka yang membuat produk hiliran termasuk sos lada cendawan dengan menjadikan penduduk setempat sebagai pengguna mereka.

Berkongsi cerita, Dr Azhar berkata sehingga ini beliau sudah membuat burger, keropok lekor,  popia, lempeng, murtabak dan pelbagai lagi masakan menggunakan cendawan dan mendapat sambutan hangat daripada peminat cendawan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel