Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sumbangan orang ramai realisasikan impian anak penoreh getah teruskan pengajian


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





KOTA BHARU, 3 Sept -- Anak seorang penoreh getah, Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, bersyukur apabila impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang akhirnya tercapai.

Muhammad Izzat Amran berkata beliau tidak menyangka ramai yang tampil menghulurkan bantuan selepas kisahnya yang berdepan masalah kewangan untuk mendaftarkan diri ke USM tular di media sosial.

"Alhamdulillah syukur sangat pada Allah kerana telah menghantar banyak pihak menyumbang wang kepada saya sehingga berjaya meneruskan pengajian. Saya benar-benar menghargainya dan mengharapkan doa daripada semua agar saya dapat belajar dengan cemerlang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Anak ketiga daripada 12 beradik yang menetap di Kampung Limau Kasturi 1, Gua Musang itu berkata dia telah mendaftarkan diri ke USM Pulau Pinang dua hari lalu selepas mempunyai wang yang mencukupi untuk membuat bayaran pendaftaran hasil sumbangan pelbagai pihak dan telah memulakan sesi orientasi semalam.

Kisahnya yang berdepan masalah kewangan sehingga memaksanya membuat keputusan menangguhkan pengajian mulai tular sejak minggu lepas.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra itu dilaporkan terpaksa melakukan kerja sambilan termasuk membantu ibunya Zubaidah Yusoff, 46, menjual sayur-sayuran bagi meringankan beban kedua orang tuanya.

Ayahnya Ibrahim Ismail, 52, yang bergantung kepada jualan getah tidak mampu menyediakan RM1,400 yuran pendaftaran ke USM kerana terpaksa menampung perbelanjaan sekolah 10 lagi adik-beradiknya yang lain.

"Memandangkan keadaan tersebut saya telah memutuskan melupakan dahulu hasrat meneruskan pengajian. Namun saya tidak menyangka telah diberikan rezeki oleh Allah daripada sumber yang tidak disangka sehingga akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading," katanya.

Malah katanya duit yang disumbangkan itu juga dapat digunakan untuk membeli kelengkapannya ke universiti selain disimpan sebagai duit poket.

Bagaimanapun Muhammad Izzat Amran yang mengikuti jurusan Teknologi Bangunan itu berkata beliau hanya ke USM menaiki bas seorang diri kerana tidak mahu membebankan dan menyusahkan kedua orang tuanya.

"Walaupun agak sedih saya harus kuatkan semangat demi memastikan cita-cita saya untuk menjadi jurutera tercapai. Pada masa yang sama saya merasa sangat teruja kerana berjaya menjadi siswa USM," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel