Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Samora tubuh Yayasan Gimpuhut


Tarikh kemaskini: 03/09/2019





KOTA KINABALU, 3 Sept -- Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora) menubuhkan Yayasan Gimpuhut bagi menyelaras dan menjaga kebajikan peserta Pertandingan Mitarab Gimpuhut Momogun (MGM) Pesta Magahau.

Presiden Samora Datuk Jelani Hamdan berkata sudah sampai masanya yayasan itu ditubuhkan bagi menyelaras dan menjaga kebajikan peserta yang pernah menyandang dan menyertai pertandingan itu di semua peringkat.

Katanya apabila yayasan itu berkembang nanti, ia bukan sahaja menumpukan soal kecantikan tetapi juga menawarkan kursus kemahiran dan aktiviti mampu menjana ekonomi seperti perniagaan kepada ahli yayasan itu.

"Keahlian yayasan ini juga nanti akan dibuka kepada wanita kaum Rungus dan Momogun termasuk kaum Dusun yang pernah menyertai pertandingan lain di negeri ini seperti Unduk Ngadau pada Pesta Kaamatan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Yayasan Gimpuhut di sini, malam tadi.

Jelani berkata Ahli Majlis Tertinggi Samora Ruhini Andong akan menjadi pengerusi penaja penubuhan Yayasan Gimpuhut itu.

Menurutnya yayasan itu juga akan membantu dan melatih pemenang MGM dan Duta MGM yang dilantik dalam mempromosikan kebudayaan kaum Rungus pada festival kebudayaan di luar negara.

Beliau berkata Pesta Magahau yang dianjurkan pada setiap tahun sejak 2005 menjadi platform penting kepada Samora yang mempunyai ahli seramai 58,000 untuk mempromosikan kebudayaan suku kaum Rungus di negeri ini.

Katanya pesta Magahau merupakan perayaan terbesar bagi kaum Momogun Rungus yang disambut sejak sekian lama oleh nenek moyang dan perlu dipelihara serta diberi sokongan agar ia dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

"Pesta Magahau dapat memulih dan menguatkan semangat masyarakat Momogun Rungus. Pesta ini adalah milik kita dan dirayakan bersama dengan kaum yang lain," katanya.

Jelani berkata pada peringkat awal ini, Yayasan Gimpuhut akan memberi tumpuan kepada peserta MGM yang akan menyertai festival kebudayaan di negara ini dan luar negara, antaranya Internationale Tourismus-Borse Berlin (ITB Berlin) di Jerman nanti.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel