Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sekolah autisme NASOM dibuka di Langkawi Disember depan


Tarikh kemaskini: 02/09/2019





LANGKAWI, 2 Sept (Bernama) -- Ibu bapa yang memiliki anak autisme di pulau ini dapat menarik nafas lega, apabila sebuah sekolah khas oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bakal dibuka Disember depan.

Pengerusi NASOM Feilina Feisol berkata ketiadaan pusat pembelajaran khusus autisme di pulau ini, menyebabkan ibu bapa perlu menghantar anak mereka ke Alor Setar, serta beberapa lokasi lain.

Katanya bagi tujuan tersebut pihaknya yang telah membuat tinjauan ke beberapa tempat sekitar pulau ini, dan telah mengenal pasti sebuah lokasi di Taman Seri Berlian, yang sesuai dengan perancangan NASOM.

"Wakil Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah membawa kita ke rumah kedai tiga tingkat milik mereka di Taman Seri Berlian, lokasi tersebut amat sesuai dengan rancangan kita, untuk membuka sebuah sekolah autisme Disember dan seterusnya sesi persekolahan bermula Januari nanti.

“Berdasarkan rancangan awal sekolah tersebut akan menawarkan program intervensi awal dan program vokasional. Jumlah guru akan ditetapkan kemudian berdasarkan jumlah anak-anak di pusat itu nanti," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu Feilina menyampaikan taklimat mengenai penubuhan sekolah tersebut, kepada ibu bapa anak autisme di Hotel Adya Langkawi, Kuah yang turut dihadiri wakil peribadi Ahli Parlimen Langkawi, Shukor Bahari dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat.

Sementara itu wakil Persatuan Ibu bapa Autisme NASOM Langkawi, Mastura Abdul Mutalib berkata seramai 54 orang anak autisme telah didaftarkan dengan persatuan tersebut, sebaik mengetahui sebuah sekolah khas akan dibuka di pulau ini.

Beliau berkata persatuan tersebut juga yakin jumlah pendaftaran akan bertambah, memandangkan pihaknya masih melakukan hebahan kepada masyarakat setempat.

"Ketika ini tiada sebuah sekolah khas autisme pulau ini, terapi di hospital pula cuma tiga bulan sekali. Sekiranya sebuah sekolah NASOM dibuka di sini, ibu bapa dapat hantar anak-anak ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku serta keupayaan mereka," kata Mastura yang menghantar anak lelakinya berusia tujuh tahun ke NASOM Titiwangsa, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel