Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tunggakan premium tanah di Kedah RM251 juta - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 02/09/2019





ALOR SETAR, 2 Sept (Bernama) -- Sejumlah RM251 juta bayaran premium tanah masih gagal dijelaskan oleh syarikat-syarikat, pemaju, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan di Kedah sehingga kini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Katanya, tunggakan itu membabitkan 480 permohonan yang telah diluluskan oleh pejabat tanah dan galian melalui pemberimilikan tanah yang mana kelulusan itu boleh dibatalkan sekiranya pihak terbabit gagal menjelaskan bayaran premium tersebut.

“Jadi, saya minta Pentadbiran Tanah Negeri Kedah dapat ambil tindakan tegas seperti melucut hak dalam mengurangkan jumlah tunggakan hasil tanah,” katanya pada Majlis Penyerahan dan Pelancaran Aplikasi Dashboard Executive Information System (EIS) Kutipan Hasil Tanah Terkini di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri melalui pejabat tanah juga berdepan tunggakan kutipan cukai tanah oleh syarikat, pemaju dan GLC di mana sehingga kini hanya RM18 juta berjaya dikutip berbanding anggaran kutipan RM70 juta.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri telah menyasarkan anggaran Kutipan Hasil Negeri sebanyak RM710 juta bagi tahun ini dengan lebih separuh daripadanya iaitu RM426 juta terletak di bawah Pentadbiran Tanah Negeri.

Katanya, daripada anggaran RM426 juta itu, pentadbiran tanah negeri telah berjaya mengutip sebanyak RM290 juta atau 68 peratus setakat ini.

“Bagi Pentadbiran Tanah Negeri Kedah, berbagai-bagai inisiatif perlulah dirangka bagi memperkemaskan lagi mekanisme dan strategi kutipan hasil tanah melalui sumber sedia ada, sama ada dari segi pemberimilikan tanah, kutipan ke atas tunggakan cukai tanah dan juga premium.

“Kita juga perlu mengatasi ketirisan kutipan hasil negeri dengan meningkatkan aspek pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara lebih tegas bagi mengurangkan kebocoran hasil yang sepatutnya diperoleh selain merangka strategi yang bersesuaian untuk mengenal pasti faktor-faktor menyumbang kepada kemerosotan kutipan hasil,” katanya.

Mengenai aplikasi Dashboard-EIS itu, Mukhriz berkata ia dapat membantu kerajaan negeri mengurus pentadbiran tanah, perancangan pembangunan negeri dengan lebih baik dan terurus sekaligus dapat membantu mencapai sasaran kutipan hasil negeri yang sebelum ini sukar dicapai.

“Melalui aplikasi ini, kita boleh lihat kadar kutipan terkini keseluruhan, kutipan terkini kod hasil, carta kutipan keseluruhan, kutipan tunggakan terkini dan carta kutipan terkini mengikut daerah. Ini penting sebab setiap tahun kerajaan negeri ada sasaran kutipan.

“Sasaran ini jarang dicapai, kadang-kadang hanya 80 peratus atau kurang dari itu. Kita tidak mahu tunggu saat akhir baru nak faham apa masalah dihadapi yang menyebabkan sasaran tidak boleh dicapai, jadi melalui aplikasi ini saya sendiri boleh akses untuk lihat hasil yang telah dikutip,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel