Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

ESSCom waspada, siap sedia hadapi ancaman Abu Sayyaf - Hazani


Tarikh kemaskini: 02/09/2019





LAHAD DATU, 2 Sept (Bernama) -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sentiasa berwaspada dan bersiap sedia dengan sebarang ancaman penjenayah khususnya dari Abu Sayyaf di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali berkata sehingga kini tiada pergerakan penjenayah dari Abu Sayyap dikesan dan pihaknya akan terus berwaspada serta siap siaga.

"ESSCom sentiasa waspada mengenai ancaman penjenayah dari kumpulan pengganas khususnya dari kumpulan pengganas Abu Sayyaf terutama di perairan Pantai Timur Sabah," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas surat pemberitahuan yang dikeluarkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) yang tular sejak pagi tadi yang menyatakan tiga kelompok kumpulan Abu Sayyaf dilaporkan melakukan pergerakan ke perairan di timur Sabah pada 30 Ogos, lepas.

Ia bertujuan untuk melakukan penculikan dengan menyasarkan beberapa buah kapal iaitu Kapal Batubara, Kapal Tanker, Nelayan Kapal Lengkong dan Kapal Tarik Udang. 

Surat peringatan KJRI itu dipercayai untuk disampaikan pada warga Indonesia yang bekerja sebagai nelayan dan kru kapal agar berhati-hati jika belayar ataupun melalui perairan yang menjadi sasaran operasi kelompok Abu Sayyaf. 

Dalam surat itu terdapat beberapa tempat atau wilayah dinyatakan yang akan menjadi sasaran iaitu Bakongan, Berhala, Sandakan, Mamiang, Tambisan dan Taganak. 

Hazani berkata pihaknya juga sedia maklum tentang surat yang tular itu dan telah menghubungi pasukan keselamatan Filipina bagi mengesan pergerakan kumpulan tersebut. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel