Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat balu tabah jalani kehidupan di Kampung Wakaf Stan


Tarikh kemaskini: 02/09/2019




KOTA BHARU, 2 Sept (Bernama) -- Umpama satu keluarga besar, empat balu di Kampung Wakaf Stan dekat Kubang Kerian, di sini, yang tinggal berdekatan, saling bantu-membantu dalam menempuh kehidupan yang sukar.

Mereka yang berusia lingkungan 35 hingga 70 tahun, menjadi balu selepas kematian suami antara 2011 sehingga bulan lalu yang menetap di rumah peninggalan arwah suami ataupun menyewa. 

Nor Riyah Mohd Akil, 38, yang mempunyai tujuh anak berusia dua hingga 16 tahun sebenarnya baru sahaja kematian suami pada 28 Ogos lalu.

"Suami meninggal akibat sakit jantung dan saya bersama anak-anak bernasib baik kerana tinggal di rumah ibu mentua yang juga seorang balu.

"Buat masa sekarang saya belum memikirkan apakah nasib kami sekeluarga apatah lagi dengan tiada pekerjaan untuk menampung perbelanjaan isi rumah kerana enam anak masih bersekolah," katanya yang belum memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya buat masa ini perbelanjaan hanyalah menggunakan sedikit wang peninggalan arwah suaminya dan kini buntu memikirkan nasib mereka sekeluarga selepas ini.

Bagi Norizah Hassan, 49, yang kematian suami pada Mac lalu, agak bernasib baik kerana empat daripada sembilan anaknya sudah mampu berdikari serta beliau turut menerima bantuan JKM RM200 sebulan sejak beberapa bulan yang lepas.

"Memang kehidupan kami sekeluarga selepas kematian suami yang hanya bekerja sebagai tukang rumah begitu susah, sehingga empat anak saya mengambil keputusan berhenti sekolah semata-mata bagi membantu keluarga.

"Alhamdulillah...anak-anak memahami keadaan dan dengan wang gaji merekalah lima lagi adik-adik mereka dapat disara termasuk empat yang sedang bersekolah," katanya.

Bagi Aminah Yunus, 70, pula walaupun anak-anak sudah dewasa namun dia kini menjaga pula empat cucu yang yatim piatu selepas kematian anak perempuan dan menantunya sejak beberapa bulan lalu.

Katanya walaupun turut dibantu oleh seorang anaknya namun sudah pasti keadaan itu akan menyebabkan kesukaran terutamanya dari segi perbelanjaan kerana cucu yang dijaga itu masih kecil iaitu berusia antara satu hingga enam tahun.

"Nasib baiklah kami di sini saling membantu antara satu sama lain walaupun dalam keadaan serba kekurangan," katanya.

Bagi Norhayati Mohd Arifin, 50, pula dia menjadi balu selepas kematian suaminya lima tahun lalu dan bebannya kini ringan sedikit kerana enam anaknya yang berusia antara 19 hingga 29 tahun sudah mampu berdikari.

Katanya memang kehidupan sebagai balu agak sukar tetapi dengan adanya rakan senasib tinggal berdekatan dapatlah mereka berkumpul menghiburkan hati.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel