Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pahang amal prinsip pintu terbuka kepada pelabur


Tarikh kemaskini: 02/09/2019





KUANTAN, 2 Sept  -- Kerajaan negeri Pahang mengamalkan dasar pintu terbuka dalam meraikan kedatangan dan kemasukan pelabur ke negerinya, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata keterbukaan itu adalah berdasarkan prinsip pelaburan itu akan membawa manfaat kepada negeri dan rakyat, selain mendatangkan keuntungan kepada pelabur. 

Sebagai contoh, Wan Rosdy merujuk kepada misi perdagangan Pahang ke Singapura yang diketuainya pada awal Ogos lalu, yang berakhir dengan kejayaan memperoleh pelaburan RM1.134 bilion. 

"Satu daripadanya ialah pelaburan kira-kira RM100 juta oleh I.B.N Corporation Private Limited yang berhasrat membina loji rawatan air dan membekalkan air terawat kepada pelbagai kawasan industri dan kediaman di sini. 

"Pelaburan seperti ini amat dialu-alukan kerana saya dimaklumkan berlaku kekurangan bekalan air di kawasan tanah tinggi ini, kerana penyedia utiliti sedia ada tidak dapat menampung permintaan semasa kira-kira 28.2 juta liter sehari," katanya. 

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap merasmikan pembukaan Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands hari ini. Teks ucapan itu dikeluarkan kepada media menerusi Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Besar di sini.

Beliau menambah pelaburan itu sudah pasti dapat membantu melengkapkan tugas Genting Utilities and Services Sdn Bhd selaku pembekal air tunggal setakat ini, dalam memastikan pengguna mendapat bekalan air terawat yang mencukupi.

"Masalah air boleh menjadi lebih teruk jika tidak ditangani dari awal, kerana saya diberitahu seluruh Genting Highlands memerlukan sekurang-kurangnya 72 juta liter air terawat setiap hari dalam tempoh 10 tahun. 

"Oleh itu, perancangan yang disebutkan ini dapat meleraikan keresahan dalam kalangan pelabur ke sini, mengenai pembekalan air terawat yang lancar dan berkesan di sini," katanya. 

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy optimis hotel terbaru dan yang ke-11 milik OSK Holdings Berhad itu dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Pahang dengan kemudahan 561 bilik di hotel setinggi 40 tingkat, selain dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk lebih 500 unit ruang parkir. 

Beliau berkata faktor ini juga disokong dengan kedudukan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan menyumbang kepada kejayaan Pahang sebagai negeri penerima paling ramai pelancong domestik  tahun lalu, iaitu 9.2 juta orang. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel