Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Walau diuji, semangat penduduk Sungai Lembing tetap kuat


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





KUANTAN, 1 Sept (Bernama) -- Walaupun diuji dengan kebakaran besar semalam, penduduk Sungai Lembing di sini tetap bersemangat kental untuk membangunkan semula pekan tersebut. 

Mereka yakin pekan Sungai Lembing akan kembali seperti sedia kala tidak lama lagi. 

Sikap optimis ini jelas terbayang, semasa Bernama menemui sebilangan penduduk yang terjejas dengan bencana itu, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing yang dijadikan pusat penempatan sementara.   

Menurut mereka, ini disebabkan keprihatinan pelbagai pihak yang tidak jemu-jemu menghulurkan bantuan kepada, sejak kejadian berlaku sehingga ke saat ini. 

Penduduk, Kong Swee Leng, 65, yang kehilangan kedai runcit dua tingkat pada kejadian itu berkata akan berusaha untuk membina semula 'kehidupannya' di tapak asal yang merupakan peninggalan pusaka suaminya. 

"Kedai runcit dan rumah di tingkat dua adalah satu-satunya peninggalan suami. Sudah lebih 50 tahun saya tinggal di sini selepas berkahwin, jadi nilai sentimentalnya sangat mendalam buat saya. Saya tiada tempat lain hendak tuju.

"Saya harap kerajaan negeri dapat membantu memberi geran atau pajakan untuk kami yang terjejas dalam kebakaran itu, kerana kawasan ini adalah tapak warisan," kataya. 

Kong menambah sementara menanti 'rumah dan kedainya dibina semula', beliau bercadang untuk menumpang secara bergilir-gilir di rumah anak dan saudara supaya tidak terlalu menyusahkan mereka.   

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana ketika bencana berlaku semalam, beliau berada di rumah anak perempuannya di Taman Impianku yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Sungai Lembing.

Hakikat beliau terselamat disifatkan sebagai 'peluang kedua buat dirinya'. 

"Jika berada di rumah, sudah pasti sukar untuk saya menyelamatkan diri kerana saya tidur di bahagian atas. Saya mempunyai masalah lutut yang menyukarkan saya untuk berjalan... apa lagi untuk berlari dalam keadaan kecemasan seperti semalam," katanya. 

Seorang lagi mangsa, Chang Fam Meng @ Chen Fam Meng, 83, yang tinggal seorang diri di situ juga berkata tidak akan berpindah ke tempat lain kerana seluruh kehidupannya sudah dihabiskan di pekan yang merupakan tapak peninggalan bandar perlombongan bijih timah. 

Katanya, rumah yang musnah dalam kebakaran itu adalah peninggalan ibu bapanya dan berdasarkan pengalaman berjiran di pekan itu, beliau tahu mereka di situ akan saling membantu untuk kembali seperti sedia kala. 

"Orang di sini semuanya baik hati. Ramai yang datang bertanya khabar. Bantuan juga tidak putus-putus tiba, bukan hanya dari kerajaan tetapi juga dari badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan. 

"Saya tahu perjalanan kami untuk membina semula pekan ini tidak mudah, tapi semangat dan bantuan daripada ramai pihak menjadikan tidak mustahil untuk kami bangkit," katanya. 

Walaupun sedih kehilangan rumah pusaka, seorang lagi mangsa Yong Siew Meng, 43, juga berhasrat supaya pembangunan semula bangunan terbakar itu dibuat dengan mengekalkan reka bentuk sedia kala. 

Katanya, susun atur deretan kedai dan rumah setingkat yang terletak di tengah-tengah pekan kecil Sungai Lembing itu menjadi identiti tersendiri kawasan itu, yang merupakan satu daripada lokasi tarikan pelancong di Kuantan. 

Pada kejadian 1.30 pagi semalam, sebanyak 32 bangunan di Sungai Lembing musnah dalam kebakaran melibatkan 20 unit kedai dua tingkat, 11 unit rumah dan sebuah perpustakaan selain meragut nyawa sepasang suami isteri warga emas. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel