Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Filem Sumpahan Jerunei promosi keindahan semula jadi Sarawak


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





KUCHING, 1 Sept (Bernama) -- Dalam usaha untuk mempromosi Sarawak terutamanya dari segi pelancongan, Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja dan yang terbaru, Produksi Seni 2020 bakal menerbitkan sebuah filem berjudul ‘Sumpahan Jerunei’ yang memaparkan  sejarah silam kaum Melanau.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata filem usahasama Kerajaan Negeri dengan pihak produksi itu bertujuan untuk menghasilkan sebuah filem yang bersangkut paut dengan sejarah kaum keempat terbesar di Sarawak.

“Harapan kita supaya filem ini dapat diterima masyarakat umum serta menjadi sebuah filem yang ‘hit’ dan pecah panggung.

“Penggambaran filem ini juga melibatkan banyak kawasan di Sarawak, yang antaranya di Mukah, Siburan dan Santubong,” katanya, yang juga membuat penampilan khas di dalam filem berkenaan, kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Karim berkata menerusi pemilihan kawasan penggambaran yang baik, ia dapat menaikkan nama Sarawak supaya dikenali dengan mempunyai banyak kawasan alam semula jadi yang menarik sekali gus dapat membawa pelancong untuk menikmati keindahan negeri ini.

Filem itu akan memaparkan tentang sejarah silam kaum Melanau yang penuh misteri terutama berkaitan dengan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau dengan jerunei.

Pada masa ini, tinggalan sejarah jerunei ini masih kelihatan di Kampung Tellian Tengah Mukah.

Jerunei atau tugu diperbuat daripada kayu belian yang besar dan matang kelihatan masih bertahan gagah walaupun usianya sudah menjangkau lebih 200 tahun.

Tugu lebih kurang dua pemeluk ini akan dikorek dua atau tiga lubang di bahagian bawah bagi menempatkan mayat atau rangka tulang golongan bangsawan yang mati bersama barangan bernilai sebagai bekalan atau ‘piyou’ di alam lain.

Di bahagian luar tiang jerunei biasanya diukir dengan motif binatang seperti naga, harimau, ular, anjing, kucing, tikus dan sebagainya tertakluk kepada kedudukan serta kehendak pemiliknya.

Proses membuat jerunei mengambil masa lama serta menuntut kesabaran dan kesetiaan kepada mereka yang mempunyai darjat dan berpangkat tinggi dalam masyarakat ketika itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel