Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Operasi mencari seorang lagi mangsa kebakaran Sg Lembing dihenti sementara


Tarikh kemaskini: 01/09/2019





KUANTAN, 1 Sept (Bernama) -- Operasi mencari lelaki warga emas yang dikhuatiri maut dalam kebakaran besar di Sungai Lembing semalam, dihentikan sementara hari ini. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata keputusan itu dibuat ekoran tiada petunjuk baharu diperoleh setakat 3.15 petang. 

"Kita menangguhkan pencarian mangsa sehingga ada petunjuk baharu dan menyerahkan siasatan kepada polis atas kapasiti orang hilang untuk tindakan selanjutnya. 

"Setakat ini, kita telah menggunakan empat ekor anjing pengesan (K9) bomba untuk mencari mangsa, yang turut digunakan untuk membantu siasatan punca kebakaran," katanya semasa ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini. 

Ismail berkata pihaknya juga telah meluaskan kawasan pencarian ke bahagian kiri dan kanan rumah mangsa, Ho Yok Fun, 74, yang berkemungkinan menjadi laluan mangsa untuk menyelamatkan diri. 

Pada kejadian 1.30 pagi semalam, Ho dan isterinya  Chow Kim Mui, 70, disyaki terperangkap dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kedai dua tingkat yang turut dijadikan rumah pasangan itu. 

Bagaimanapun, bomba hanya menemui satu mayat dalam keadaan rentung 6 pagi semalam, dipercayai wanita berdasarkan perhiasan yang dipakai, namun mereka masih menanti keputusan forensik dan ujian DNA  bagi mengesahkan identitinya. 

Ismail berkata setakat ini, pihaknya juga sudah menemubual empat saksi kejadian berhubung siasatan punca kebakaran. 

Kebakaran itu secara keseluruhan memusnahkan 32 bangunan terdiri daripada 20 rumah kedai dua tingkat, 11 unit rumah setingkat dan sebuah perpustakaan, melibatkan 29 keluarga dan 53 orang mangsa. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel