Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kakitangan USAS meninggal dunia semasa mendaki Gunung Yong Belar


Tarikh kemaskini: 31/08/2019




IPOH, 31 Ogos (Bernama) -- Seorang pembantu tadbir Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar yang meninggal dunia semasa mendaki Gunung Yong Belar berhampiran Lojing, Gua Musang petang semalam adalah seorang pendaki yang aktif sebelum ini.

Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan dan Keselamatan USAS, Amiruden Mohamed Sharif  berkata mangsa, Rosli Kamaruddin berusia 52 tahun telah berkhidmat di universiti berkenaan sejak 2009.

"Arwah memang seorang yang aktif mendaki sejak dahulu dan sering terlibat dalam misi kemanusiaan serta menyertai pelbagai aktiviti khidmat masyarakat.

"Pihak USAS berasa kehilangan dengan pemergian arwah yang sangat peramah dan baik dengan semua orang. Kami bagi pihak USAS mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Amiruden berkata mangsa adalah seorang daripada 20 peserta yang menyertai Ekspedisi G7 anjuran USAS diketuai Naib Canselornya, Prof Tan Sri Nordin Kardi.

Menurut Amiruden kesemua peserta memulakan pendakian sempena sambutan Hari Kebangsaan selama dua hari sejak 8.00 pagi semalam dan dijangka sampai ke puncak gunung hari ini.

Katanya, mangsa meninggalkan seorang isteri Sharifah Bee Mohamad Hussin, 50, serta tiga anak perempuan berusia 17 hingga 19 tahun.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 9, Chemor dekat sini selepas solat Isyak apabila proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini selesai dilakukan dan pihak universiti akan menguruskan dari awal hingga selesai urusan pengkebumian jenazah.

Sementara itu, usaha pihak media untuk menemubual abang mangsa gagal apabila  beliau enggan ditemubual.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali dalam satu kenyataan berkata mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki gunung berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 3.30 petang semalam dengan 16 anggota dari BBP Cameron Highlands dan Gua Musang ke lokasi kejadian bagi membantu menurunkan mangsa.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel