Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mangsa kebakaran Sungai Lembing tinggal sehelai sepinggang 


Tarikh kemaskini: 31/08/2019





KUANTAN, 31 Ogos -- Bunyi bising dan ketukan pintu bertalu-talu menyelamatkan pembantu kedai Wong Cheou Yun dan dua anaknya, daripada kebakaran besar di Sungai Lembing di sini, awal pagi tadi. 

Beliau berkata sebaik sahaja tersedar, mendengar jeritan api yang kuat menyebabkan beliau segera berlari ke bilik tidur anaknya yang berusia 20 dan 23 tahun, sebelum mereka berlari turun ke pintu hadapan. 

"Kami hanya terfikir untuk menyelamatkan diri dan tidak sempat mengambil apa pun barang keperluan. Sebaik sahaja membuka pintu, saya lihat keadaan begitu kelam-kabut. Orang berlari sambil menjerit.

"Saya cuba untuk masuk ke dalam rumah bagi mengambil dokumen penting, namun tidak berjaya kerana keadaan begitu gelap, memandangkan bekalan elektrik sudah diputuskan," katanya kepada pemberita semasa ditemui di sini, hari ini.

Wong, 48, ditemui di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing di sini hari ini, yang dijadikan pusat penempatan sementara mangsa kebakaran tersebut. 

Sementara itu, peniaga Lai Lin Sim, 58, berkata sebuah daripada dua unit kedai makan yang diusahakan di situ sejak berpuluh tahun lalu, musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kebakaran sekitar 1.45 pagi dan segera berlari ke kedai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya, dengan niat mahu menyelamatkan barangan penting.

"Bagaimanapun, semuanya sudah terlambat kerana api sudah marak. Saya tidak mahu menggadai nyawa masuk ke unit kedai yang masih belum terbakar, kerana bimbang jika ada bumbung atau dinding jatuh," katanya. 

Warga emas Liow Hong Ping, 79, berkata beliau kini tinggal sehelai sepinggang, selepas gagal menyelamatkan barang termasuk dokumen peribadi dalam kebakaran itu. 

Beliau berkata tersedar daripada tidur kerana berasa panas dan mula menghidu bau asap yang kuat, sebaik sahaja membuka tingkap untuk melihat apa yang berlaku. 

"Saya nampak api yang besar dan orang yang berlari di hadapan rumah saya, menyuruh semua penghuni rumah untuk segera keluar... katanya ada kebakaran dan api sedang marak dengan cepat. 

"Saya tidak berfikir panjang lalu terus keluar dengan hanya memakai t-shit dan seluar pendek," katanya yang tinggal berseorangan.

Pada kejadian 1.30 pagi tadi, kebakaran memusnahkan 20 rumah kedai, 11 rumah kongsi setingkat serta sebuah perpustakaan dan difahamkan sepasang suami isteri warga emas yang mendiami salah sebuah rumah terperangkap.

Bagaimanapun, sehingga kini mayat seorang mangsa dipercayai wanita, ditemukan dalam keadaan rentung pada 6 pagi tadi di bahagian hadapan rumah, yang dipercayai lokasi pertama kebakaran berlaku. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel