Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kebakaran Sungai Lembing: mayat pertama ditemukan rentung 


Tarikh kemaskini: 31/08/2019





KUANTAN, 31 Ogos -- Mayat seorang warga emas dipercayai wanita ditemukan rentung di salah sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran  melibatkan 32 bangunan di Sungai Lembing di sini, awal pagi ini. 

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata mayat itu ditemui sekitar 6 pagi tadi, di bahagian hadapan rumah dua tingkat di situ. 

"Rumah itu didiami pasangan suami isteri warga emas dan kita percaya mayat adalah wanita berdasarkan barang kemas yang dipakai mangsa. Kita percaya mangsa terjatuh dari balkoni rumah tersebut. 

"Setakat ini, kita masih mengesan suami mangsa, yang disyaki turut terperangkap dalam kebakaran itu," katanya kepada pemberita semasa ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini. 

Mohd Sani berkata pihaknya sedang menunggu bantuan unit anjing pengesan (K(K9) bagi tujuan itu. 

Pada kejadian 1.30 pagi tadi, sebanyak 32 premis bangunan yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran yang dikatakan berpunca dari salah sebuah rumah di situ. 

Mohd Sani berkata sebanyak lima jentera dengan kekuatan 67 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, terdiri daripada dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota, Taman Tas dan Gebeng. 

"Keadaan rumah yang diperbuat daripada kayu dan kedudukan yang rapat menyebabkan api marak dengan cepat serta menyukarkan operasi untuk mengawal kebakaran. 

"Bagaimanapun, kami menerima bantuan yang sangat baik daripada pasukan bomba sukarela di sini dan penduduk tempatan bagi mendapatkan bekalan air daripada sungai berhampiran," katanya. 

Mohd Sani berkata kebakaran yang melibatkan 20 rumah kedai, 11 rumah kongsi setingkat dan sebuah perpustakaan berjaya dipadamkan pada 3.45 pagi, namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. 

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuantan Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah berkata semua mangsa yang terlibat akan ditempatkan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Lembing buat sementara waktu.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel