Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KAFA jangka selesai hutang RM6.2 juta pertengahan 2020


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





KUALA LUMPUR, 30 Ogos  -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjangkakan hutang lapuk persatuan berkenaan berjumlah RM6.2 juta dapat diselesaikan menjelang pertengahan tahun depan.

Jaminan itu disuarakan presiden baharu KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menggantikan pemimpin tertinggi persatuan berkenaan, Bibi Ramjani Ilias Khan, selepas majlis menandatangani satu memorandum perjanjian dengan syarikat swasta, MQ Technology Berhad, hari ini.

Wan Abdul Rahim berkata melalui perjanjian itu, KAFA akan membuat pembayaran secara berperingkat bagi melancarkan proses pelesenan kelab yang perlu diselesaikan sebelum 31 Okt ini. 

“Bayaran pertama akan diselesaikan pada 15 Sept. Kita tidak perlu bayar semua sekali gus dan kita akan lakukan pembayaran seterusnya secara berjadual pada setiap bulan. Kebanyakan pemain dan jurulatih bersetuju dengan proses pembayaran ini,” katanya. 

Beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga bersetuju untuk membenarkan KAFA membuat pembayaran awal berjumlah RM113,000, dan seterusnya pembayaran berjadual secara bulanan. 

Menurut Wan Abdul Rahim, jumlah keseluruhan RM6.2 juta itu melibatkan hutang dan tunggakan terkumpul sejak 1998 melibatkan gaji pemain dan jurulatih serta badan kerajaan seperti LHDN, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Mengenai perancangan skuad Kelantan, Wan Abdul Rahim berkata KAFA berhasrat untuk mencari pemain import dari Cameroon bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan itu. 

“Kita mengharapkan musim 2020 kita masih boleh bermain dalam Liga Premier dan tahun seterusnya kembali ke Liga Super. 

“Kelantan mempunyai pemain yang bagus namun kita kekurangan pemain import. Kita berhasrat untuk cari pemain dari Cameroon memandangkan kebanyakan mereka berpengalaman beraksi pada Piala Dunia dan Liga Eropah,” katanya.

Sementara itu, sebuah syarikat bagi menguruskan pasukan Kelantan pada musim depan, The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd telah ditubuhkan melalui perjanjian berkenaan, di mana KAFA akan memegang 30 peratus saham syarikat manakala MQ Technology Berhad sebanyak 70 peratus. 

Melalui perjanjian dan penubuhan syarikat berkenaan, MQ Technology Berhad akan membuat bayaran sebanyak RM3 juta sebagai modal berbayar kepada TRW Sdn Bhd dan 30 peratus daripada jumlah itu diberikan kepada KAFA sebagai sumbangan ihsan. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel