Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMP bakal pengeluar model kenderaan sukan formula Comet


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





PEKAN, 30 Ogos -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini memiliki dan menjadi pengeluar utama model kenderaan sukan permotoran bagi Formula Comet.

Formula Comet ialah satu kepakaran dalam teknologi perlumbaan yang melebihi satu peringkat daripada Formula Karting menggantikan Formula Vee dan Formula Ford yang kini agak ketinggalan.

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Dr Rosli Mohd Yunus berkata usaha berkenaan direalisasikan melalui jalinan kerjasama antara Pusat Kejuruteraan Automotif UMP dengan Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd.

"Jaringan kerjasama ini akan membuka peluang kepada UMP menyediakan tenaga mahir dalam aspek permotoran berteknologi tinggi dan pengurusan program perlumbaan di bawah bimbingan pakar oleh pihak Haro.

"Formula Comet dilihat sangat berpotensi besar untuk berjaya berikutan terdapat keperluan dan permintaan yang tinggi bagi membangunkan satu peringkat sukan permotoran." katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd di universiti itu di sini, hari ini. 

Yang turut hadir Pengurus Besar Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd Fahrizal Hasan dan Pengarah Urusannya Mohamad Yamin Ahmad Shafie.

Rosli berkata, pasaran terhadap kejohanan Formula Comet juga dilihat semakin meluas khususnya di negara rantau Asia Tenggara, Pasifik dan Asia Timur. 

Beliau menyifatkan perkembangan itu selaras dengan Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam memperkasa latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi dalam negara.

"Ini memberi peluang kepada pelajar lepasan diploma kemahiran dan vokasional untuk menyambung pengajian di UMP dalam bidang automotif dan lain-lain.

"Penyediaan peluang kerjaya dan latihan industri dalam bidang permotoran dan perlumbaan secara global menjamin pendapatan tinggi kepada bakal graduan UMP yang seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel