Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemilik, pengurusan lokasi tumpuan disaran pasang pili cekap air


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





RAUB, 30 Ogos -- Pemilik dan pengurusan kawasan tumpuan orang ramai disaran menggunakan produk cekap air bagi mengelak pembaziran serta melatih penggunaan air secara berhemah. 

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata antara langkah yang boleh diambil ialah memasang pili cekap air di singki atau tandas kawasan tersebut. 

Katanya langkah itu sesuai dilakukan di masjid yang melibatkan penggunaan air bagi tujuan wuduk dan kawasan Rehat dan Rawat (RnR), khususnya di gerai makanan untuk pengguna membasuh tangan. 

"Pili cekap air ini hanya mengeluarkan maksimum dua liter air dalam tempoh seminit berbanding pili konvensional yang mengalirkan air sekitar lapan hingga 12 liter bagi setiap minit. 

"Langkah pemasangan pili cekap air ini bukan sahaja mengelak pembaziran tetapi secara tidak langsung mengurangkan perbelanjaan bil air bulanan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Tengku Zulpuri Shah berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Program Kesedaran Air: Hargailah Air Kita di Felda Lembah Klau di sini hari ini, yang turut menyaksikan pemasangan pili cekap air di Masjid Al-Rahmat di situ. 

Beliau seterusnya menasihatkan rakyat untuk mengamalkan sikap berhemah semasa menggunakan air, terutamanya ketika negara berhadapan cuaca panas dan kering secara berterusan. 

"Langkah berjimat cermat dalam menggunakan air terawat akan membantu mengurangkan pengambilan air mentah yang boleh memanjangkan tempoh penggunaan air simpanan daripada empangan," katanya. 

Tengku Zulpuri Shah yang juga Ahli Parlimen Raub berkata kerajaan menerusi KATS juga sedang memuktamadkan cadangan meningkatkan perkhidmatan bekalan air bersih di daerah itu, merangkumi kerja menaik taraf sistem agihan, pembinaan tangki dan menaik taraf serta pembinaan loji. 

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan bersetuju meluluskan pelaksanaan projek pembinaan tangki pra mendakan di Loji Rawatan Air Sungai Bilut, Sungai Klau dan Semantan secara pinjaman dengan kos RM3 juta. 

Selain itu, pembinaan tangki sedutan dan pam penggalak juga akan dilaksanakan di Taman Lee Man, Raub Utama, Bukit Koman, Sungai Klau, Sri Raub, Kampung Ulu Atok dan Sungai Calit melibatkan kos RM3 juta. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel