Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penumpang tiba awal di KLIA


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





SEPANG, 30 Ogos -- Penumpang tiba awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka berlaku di terminal berikutan cuti hujung minggu yang panjang.

Nizam Haris, 51, berkata beliau datang enam jam sebelum waktu pelepasan untuk mengelak masalah yang tidak diingini berlaku.

"Saya ada baca tentang masalah di KLIA ni, risau jugalah kalau akan jejaskan penerbangan saya ke China pukul 6 petang ni.

"Lagipun hari ni kan Jumaat, salah satu sebab saya datang lebih awal pun sebab nak elak masalah kesesakan lalu lintas," katanya ketika ditemui di KLIA hari ini.

Nadia Suhaimi, 23, yang menghantar bapanya awal ke KLIA berkata : "Ayah cakap kena datang awal sebab takut masalah sistem akan berulang lagi, jadi lebih baik bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Tapi saya tengok keadaan di sini nampak OK je, orang tak terlalu ramai dan ayah pun tidak terima apa-apa maklumat yang beritahu penerbangan akan mengalami kelewatan," katanya.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataannya semalam menasihati penumpang supaya tiba empat jam lebih awal dari waktu pelepasan serta mendaftar masuk secara dalam talian berikutan KLIA dan klia2 dijangka menerima purata pergerakan 160,000 penumpang sehari dalam tempoh bermula hari ini hingga Isnin depan berikutan cuti hujung minggu yang panjang.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Awal Muharam pada 1 Sept.

MAHB juga menasihatkan penumpang agar mengambil maklum mengenai penutupan ruang udara harian di KLIA antara jam 9 padi hingga ke 10.30 pagi dari 27 hingga 31 Ogos, bagi memberikan laluan kepada latihan dan sambutan Hari Kebangsaan.

KLIA mengalami gangguan sistem bermula 21 Ogos lepas susulan kegagalan sistem rangkaiannya, namun keadaan bertambah baik sejak Sabtu lepas selepas MAHB menggantikan peralatan rangkaian yang dikenal pasti menjadi punca kepada kegagalan rangkaian dan sistem.

Gangguan sistem telah menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Tinjauan Bernama di balai pelepasan KLIA mendapati keadaan kelihatan tenang walaupun di waktu puncak antara pukul 12 hingga 1.

Pengumuman  juga tidak lagi menyebut mengenai lapangan terbang mengalami masalah gangguan sistem.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel