Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kemas buka peluang kepada semua masyarakat hantar anak ke TABIKA


Tarikh kemaskini: 30/08/2019





PASIR MAS, 30 Ogos -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) membuka peluang kepada semua masyarakat termasuk golongan bukan bumiputera untuk menghantar anak ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) bagi mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Pemangku Ketua Pengarah Kemas, Ahmad Kamal Idris berkata, sehingga kini 5,000 kanak-kanak bukan bumiputera telah dihantar ke Tabika Kemas di seluruh negara bagi mengikuti sesi pendidikan awal kanak-kanak.

"Contoh di Pasir Mas, kami menerima anak daripada masyarakat Siam yang dihantar ke Tabika, begitu juga di tempat lain ada kanak-kanak dari masyarakat India dan Cina.

"Kemas membuka peluang pendidikan awal kanak-kanak tanpa mengira bangsa dan agama supaya kanak-kanak sama-sama mendapat pendidikan awal sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah,” katanya selepas merasmikan Program Kayuhan Amal Kemas Sempena Bulan Kebangsaan 2019 peringkat Kelantan di Pusat Kegiatan Masyarakat Lubok Jong di sini, hari ini.

Seramai 350 peserta melakukan kayuhan sejauh 30 kilometer bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Ahmad Kamal berkata, peluang yang dibuka itu adalah langkah pihaknya dalam usaha untuk menjadi sebagai sebahagian daripada agen perpaduan masyarakat kepada negara.

"Kami akan berusaha memastikan Kemas dapat melahirkan generasi Malaysia yang bersatu padu dengan pelajaran yang diterapkan di Tabika Kemas dengan berpandukan garis panduan pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kami turut membuka peluang kepada guru daripada golongan bukan bumiputera untuk mengajar di Tabika Kemas dengan syarat mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel