Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tengku Puan Temenggong ziarah lima beradik yatim piatu


Tarikh kemaskini: 30/08/2019




GUA MUSANG, 30 Ogos -- Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, hari ini berkenan menziarahi lima beradik yatim piatu di rumah mereka, di Kampung Rahmat di sini, hari ini.

Tunku Noor Hayati mengambil masa kira-kira satu jam, untuk bertanya khabar lima beradik itu, selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di KM15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya, pada 16 Ogos lepas. 

Lima beradik itu ialah Mohamad Izat Danial Che Azmi, 23; Mohamad Syakir Aiman, 18; Mohamad Faris Faisal, 15; Mohamad Afis Zulhilmi, 13; dan Nur Damia Sofea, 7.

Abang sulung lima beradik itu, Mohamad Izat Danial berkata beliau tidak menyangka akan menerima kunjungan Tengku Puan Temenggong Kelantan hari ini, yang prihatin dengan nasib hidup lima beradik itu yang kehilangan ibu bapa.

"Saya cukup terharu menerima kunjungan Tengku Puan Temenggong Kelantan, kerana selepas kami kehilangan kedua-dua ibu bapa, saya perlu banyak khidmat nasihat daripada mana-mana pihak untuk meneruskan kehidupan.

"Kunjungan Tengku Puan Temenggong sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya, untuk menempuhi masa depan terutama dalam menjaga empat adik yang lain," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi 16 Ogos lepas, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 42, meninggal dunia dan tiga anak pasangan itu cedera parah, selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Mohamad Izat Danial berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersimpati dengan nasib kehidupan mereka, selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya.

"Apa yang lebih penting, saya perlu menguatkan semangat dan meneruskan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuala Lumpur," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel