Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Pahang dibantu dalam aspek pengurusan air - Mohamed Azmin


Tarikh kemaskini: 29/08/2019





KUANTAN, 29 Ogos  -- Kerajaan Persekutuan memberi jaminan membantu kerajaan negeri Pahang dalam aspek pengurusan air, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Beliau berkata keperluan untuk membantu itu dibuat atas pertimbangan sebahagian besar kawasan di Pahang adalah kawasan tadahan air yang  penting bagi menjamin bekalan bahan asas itu di negeri ini dan negeri berhampiran. 

Selain itu, aspek penyelenggaraan empangan juga menurut Mohamed Azmin, memerlukan kos yang besar sedangkan kerajaan negeri Pahang agak 'terbatas' dalam aspek pembangunan kerana tidak boleh membangunkan kawasan tadahan air. 

"Pengurusan air kekal dalam pengurusan kerajaan negeri tapi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan melihat keperluan dalam aset air yang sudah pasti memerlukan jumlah yang besar untuk dinaiktaraf. 

"Kita juga akan membantu dalam aspek  mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang merugikan kerajaan negeri. Di Pahang kadar NRW adalah tinggi iaitu 46 peratus dan untuk mengurangkan satu peratus sahaja memerlukan ratusan ribu ringgit," katanya. 

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan peruntukan berjumlah RM3 juta kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk menaik taraf Masjid Sultan Ahmad 1 di sini, hari ini.

Beliau berkata antara perkara untuk mengurangkan NRW ialah menggantikan paip lama bagi memastikan tiada kebocoran selain agenda membanteras kecurian air, yang memerlukan kerjasama baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. 

Komitmen kerajaan Persekutuan dalam membantu kerajaan negeri Pahang dalam isu air juga terserlah menerusi pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluluskan RM653 juta bagi tiga projek air di negeri ini sebelum ini, katanya. 

Selain aspek air, Mohamed Azmin berkata bantuan pembangunan peruntukan sewajarnya juga diberikan kepada Pahang, bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di negeri ini. 

Sebagai contoh, Mohamed Azmin merujuk kepada Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 yang dipengerusikan bersama dengan Wan Rosdy yang menyaksikan Pahang menerima RM2.42 bil bagi pelaksanaan pelbagai projek di Pahang di bawah rancangan berulang 4  2019, Rancangan Malaysia Ke-11. 

"Ada projek ini melibatkan projek yang besar dan penting kepada rakyat seperti pembangunan Hospital Maran yang telah tertangguh lama, difahamkan kerana isu tanah yang kini dapat diselesaikan dan kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan supaya projek ini dapat bermula segera. 

"Selain itu, kita juga akan melihat bagaimana pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat memberi manfaat kerana kita tidak mahu pelaburan besar seperti ini tidak mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya. 

Mengulas mengenai peruntukan RM3 juta kepada masjid itu, Mohamed Azmin berkata ia diluluskan bagi kerja menaiktaraf yang 'sudah wajar' dilakukan melibatkan struktur bumbung yang bocor, aspek pendawaian dan sistem bunyi. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel